Sunday, December 20, 2009

Hakikat kezuhudan


Saya ingin mencari makna kezuhudan. Kerana, saya ingin menang dalam perlumbaan mencapai keampunan Tuhan.

"Dan bersegeralah kamu ke arah keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa." (ali-'Imran: 133)

Untuk menang, saya perlu menambah nilai-nilai "
distinctive" dalam diri. Nilai-nilai ini yang boleh diteladani daripada kehidupan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat. Nilai-nilai seperti zuhud, malu, warak, dan bijaksana adalah sifat-sifat yang boleh meninggikan taqwa saya, justeru menjadikan saya lebih ke hadapan dalam perlumbaan ini. Kali ini, saya pilih untuk mengenal sifat zuhud sebagai "accelarator".

Mungkin mafhum hadith Nabi S.A.W. di bawah boleh menceritakan hakikat kezuhudan.

"Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau musafir." (Riwayat Bukhari)

Sama-sama kita fikir-fikirkan.

wAllahu 'alam

Monday, December 14, 2009

Jangan suka / tak suka sangat


Sekadar lintasan fikiran yang suka untuk saya kongsikan. Jangan kita terlalu suka atau terlalu benci kepada sesuatu perkara. Kerana, perbuatan itu akan hanya mendedahkan kelemahan kita.

Pasti dan tidak pasti

Adapun perkara yang saya maksudkan di atas adalah apa-apa yang bersifat tidak pasti (boleh berubah-ubah). Perkara yang bersifat tetap tidak ada masalah untuk disuka atau dibenci dengan keterlaluan. Contohnya, Allah, Rasulullah, agama Islam dan mati syahid semua adalah perkara yang benar dan kebenaran perkara-perkara ini tidak berubah sampai bila-bila. Syaitan, neraka, dan perkara-perkara maksiat semuanya adalah perkara yang sudah tetap keburukannya sampai bila-bila. Maka, tidak salah, malah seharusnya kita cinta Allah, Rasulullah, agama Islam dan mati syahid dengan setinggi-tinggi cinta. Sedangkan untuk syaitan, neraka, dan maksiat adalah sedalam-dalam kebencian daripada kita.

Takut dimanipulasi orang

Orang lain boleh memanipulasi kita pada perkara yang terlalu kita suka atau yang terlalu kita benci. Kerana, sesuatu perkara yang kita terlalu cinta / benci boleh menjadi ruang punca kepada orang lain untuk menyuntik gelojak dalam emosi kita.

Emosi dan intelek saling mengimbangi. Emosi yang tenang memudahkan intelek untuk menafsir keadaan; seterusnya membuahkan persepsi dan tindakan yang lebih tepat, objektif, dan selamat. Emosi yang bergelojak pula akan menekan fungsi intelek. Hasilnya, persepsi dan tindakan yang keluar selalunya kurang munasabah dan kadang-kala boleh menjatuhkan maruah. Dan kita akan menyesal dengan persepsi dan tindakan itu.

Kaya jiwa

Jadi, berhati-hati dalam mengawal emosi. Kita banyakkan istighfar dan mohon petunjuk dan perlindungan Tuhan. Satu do'a yang ma'thur dari Nabi S.A.W. menerusi riwayat Abdullah ibn Mas'ud r.a.:
"Ya Allah, aku meminta dari sisi-Mu petunjuk, taqwa, ketahanan diri, dan kekayaan (jiwa)."

wAllahu 'alam

Saturday, December 12, 2009

Kasih Tuhan dalam dosa


"Kita harus pandang semua perkara dengan mata positif," saya mulakan nasihat pendek untuk adik bongsu saya. "Bukan semua perkara la Anden (short-form kepada Abang Din; begitulah ahli keluarga lain memanggil saya). Takkan dosa-dosa pun kita nak positif jugak," dia membalas.

Dosa itu positif?

Bagaimana kita boleh melihat dosa dari sudut pandang yang positif? Kerana, sekiranya kita dapat membina satu sudut pandang positif untuk perkara-perkara bersifat dosa, maka saya kira semua perkara bisa kita lihat dengan perasaan positif.


Mampu atau tidak kita menyuntik energi positif ke dalam sesuatu perkara tergantung kepada pemahaman kita tentang makna
sudut pandang positif. Kita biasa mendengar orang berkata "belajarlah daripada kesilapan". Di balik kata-kata itulah terletak maksud sudut pandang positif. Pada hemat saya, memiliki sudut pandang positif ialah memiliki keupayaan untuk mencungkil nilai-nilai didikan yang pada sesuatu perkara atau peristiwa.

Nilai-nilai ini Allah yang letak atas dasar kasih-Nya kepada makhluk. Kadang-kadang nilai-nilai ini tampak terang dan nyata; pada waktu yang lain mereka terselindung. Maka, dengan definisi yang sebegini, tidak mustahil untuk kita menilai dosa-dosa dengan sudut pandang yang positif.


Kasihnya Tuhan ar-Rasheed

Definisi yang saya utarakan bukanlah sekadar hasil cetusan minda, ikut selera cita rasa sendiri. Tetapi, definisi ini saya dasarkan kepada maksud nama Allah yang Maha Mulia iaitu ar-Rasheed - Yang Maha Memberi Petunjuk. Saya yakin sifat ar-Rasheed melangkaui setiap lapisan kehidupan (level of existence), dimensi tempat, dan batasan masa.

Allahur Rasheed sentiasa mahu menunjukkan hamba-hamba-Nya ke jalan yang benar lagi selamat. Dia menetapkan pahala dan dosa semata-mata untuk menjadikan jalan yang benar itu semakin jelas. Kita menjadi lebih yakin dengan kebenaran apabila diletakkan di sisinya keburukan sebagai perbandingan. Begitu juga sebaliknya; kita menjadi lebih sangsi dengan kepalsuan apabila dilihatkan bersama dengan kepalsuan itu cahaya kebenaran. Konklusinya, Allah menetapkan dosa supaya kita cenderung kepada pahala; Allah menetapkan pahala supaya kita jauh daripada dosa.

Betapa kasihnya Tuhan kepada kita? Semoga adik saya memahami hakikat ini.

Dosa dan akibatnya

Setiap dosa ada akibatnya. Akibat boleh menjelma dalam dua bentuk. Bentuk pertama ialah kesan dosa itu terhadap diri kita dan persekitaran. Sebagai contoh, dosa mengumpat akan menjatuhkan maruah si pengumpat dan menanam benih-benih kebencian terhadap orang yang diumpat. Bentuk yang kedua ialah hukuman yang telah Tuhan tetapkan: hukuman di dunia dan hukuman di akhirat. Hukuman Tuhan di dunia berbentuk hukum hudud dan ta'zir dan di akhirat, ia berbentuk azab akhirat yang menakutkan.

Allah yang Maha Penyayang menetapkan hukuman yang dahsyat dan menakutkan untuk dosa-dosa supaya kita menjauhi perbuatan-perbuatan ini. Kerana apa Allah mahu kita jauh daripada dosa-dosa? Kerana kesan buruk dosa-dosa ini ke atas diri dan persekitaran kita. Allah mahukan hidup yang baik untuk kita. Hidup yang baik hanya boleh dicapai dengan dosa yang minimal dan pahala yang maksimal. Dan untuk sebab itu, Allah janjikan pula ganjaran yang berganda-ganda untuk perbuatan-perbuatan yang baik.

Taubat

Hapuskanlah setiap dosa yang kita lakukan dengan taubat. Susurilah pula dengan perbuatan yang membuahkan pahala. Lihatlah kasih sayang Tuhan yang tersirat di sebalik ketetapan dosa dan pahala ini. Galilah nilai-nilai didikan rabbani yang terselindung di balik hitamnya kelabu dosa, dan terangnya cahaya pahala.

wAllahu 'alam

Tuesday, December 1, 2009

Iman selalu nombor 1!

Biar dalam lapangan apa pun kita berkecimpung, jangan biarkan ia mendahului iman. Kerana dalam iman, ada Tuhan. Dengan Tuhan, kita selamat, kita aman. Kita tidak sesat, dan tidak pula menyesatkan. Kita bahagia dengan kebaikan yang berterus-terusan. Tanda hadirnya keberkatan.

Maka, wahai saudaraku, wahai temanku, jadikan iman yang nombor 1!


wAllahu 'alam