Monday, May 17, 2010

Do'a


Maksud dalam ibadah do'a itu bukanlah semata-mata untuk memenuhi hajat. Tapi untuk menambah berkat dalam hidup. Dengan do'a kita tundukkan hati. Dalam do'a kita akui kehambaan diri. Menerusi do'a kita mengenal Cinta Hakiki.

Do'a itu sumber makanan untuk ruh kita. Bila kita kurang berdo'a, ruh kita akan "kering", lalu ia sakit. Kalau terus-terusan kita lupa untuk berdo'a, ruh kita mungkin mati. Bila ruh kita mati, jadilah kita "zombie" yang berjalan di atas muka bumi. Jasad tanpa ruh. Bangkai yang bernyawa.

Nabi kita berdo'a untuk berbicara dengan Yang Tercinta. Baginda berdo'a kerana rindu. Kerana rindu, kalimah al-Halim beralun mengikut irama dengan hembusan nafas baginda. Kerana cinta, baginda mampu merasakan kewujudan Rabbul Jalil dalam setiap panaroma. Lalu baginda pun berdo'a. Mengucap kata-kata cinta. Rayuan seorang hamba. Kepada Tuhan Empunya Segala.

"Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah bahawasanya Aku sangat dekat. Aku mengabulkan permohonan mereka yang berdo'a kepadaku. Tetapi, hendaklah mereka memenuhi segala perintahKu dan beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah: 186)

"Dan Tuhanmu telah berfirman: Berdo'alah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan. Sesungguhnya mereka yang menyombongkan diri daripada beribadah kepadaKu akan Ku masukkan ke neraka Jahanam dalam keadaan hina dina." (Ghafir: 60)

Marilah kita berdo'a!

wAllahu 'alam