Thursday, October 28, 2010

Tip untuk wanita yang mahu 'mengawan'


Selingan

Sudah sekian lama semenjak tulisan saya yang terakhir. Saya sempat bermuhasabah beberapa hari yang lepas mencari sebab kelembapan penghasilan entri saya. Memang masa tidak begitu menggalakkan untuk saya menulis. Tetapi, itu tidak cukup untuk dijadikan alasan. Saya memilih untuk menulis sebagai latihan untuk berfikir. Kerana dengan berfikir, hati lebih dekat dengan Tuhan, lebih jauh daripada perkara yang mensia-siakan. Saya harus terus berjuang untuk menulis. Untuk terus berfikir tentang kehidupan. Dan terus berjuang mendekatkan diri dengan Tuhan.

Intro

Entri kali ini ditulis atas dasar kemanusiaan. Atas rasa cinta sesama manusia yang datang daripada ibu dan bapa yang sama, Adam dan Hawa.

Tidak lama dahulu, saya ada berkongsi nasihat dengan seorang kawan. Seorang perempuan. Dia sudah mengambil keputusan untuk berumah tangga. Cumanya, masih belum bertemu dengan jejaka pilihan hatinya.

Rancanglah pengakhiran kita

Saya mulakan nasihat dengan mengingatkannya tentang pentingnya kita merancang tentang akhir kehidupan kita. Pernikahan itu hakikatnya adalah satu ikatan hati. Apabila kamu menerima nikah seorang jejaka, kamu telah berikrar untuk mengikat hati kamu dengan hati dia. Ikatan ini akan banyak mempengaruhi perjalanan hidup kita seterusnya. Kita tidak pasti bila akhirnya kita di atas dunia ini. Maka, sebaiknya kita pastikan perjalanan kita sentiasa dekat dengan rahmat dan redha Allah.

Kita kena ingat, hati yang baik tidak boleh diikat dengan hati yang jahat. Itu sunnah atau ketentuan Allah yang tak boleh kita sanggahi. Jadi, bila sudah terlintas niat di hati untuk membina rumah tangga, atau dalam bahasa yang agak kasar, 'mengawan', bolehlah kita gandakan usaha untuk membersihkan hati dengan mendekatkan diri dengan Tuhan dan menabur bakti sesama insan.

Saya menggunakan istilah 'mengawan' kerana saya ingin merefleksi perbuatan muda-mudi sekarang yang menjadikan hubungan lelaki-perempuan seperti hubungan kebinatangan jantan-betina. Saya mohon maaf andai ada yang tersinggung. Tapi, niat saya hanya untuk memberi gambaran yang paling tepat tentang realiti semasa.

Nilai seorang lelaki pada perbuatannya

Nilailah seseorang lelaki itu pada "tangan" dan "kaki"-nya, bukan pada "lidah"-nya. Kerana, apa yang keluar daripada lidah bukanlah penanda yang tepat untuk apa yang tersirat di hatinya. Lidah ini ada kecenderungan untuk berbohong. Yang buruk boleh nampak cantik. Yang salah boleh nampak betul. Iklan "Mee Sedap" pun mengiktiraf apabila berkaitan dengan soal kata-kata, lidah boleh berbohong. Nabi S.A.W. pun bersabda, "Bukankah hasil tuaian lidah manusia itulah yang menghumbankan muka mereka ke neraka?" (Riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa'ei, Ibnu Majah dan Ahmad).

Tapi amalan atau perbuatan adalah manifestasi kepercayaan dalam hati. Akhlak seorang lelaki itu adalah 'buah' imannya. Kalau baik imannya, baiklah akhlak atau amal perbuatannya. Betul, kita boleh berpura-pura dengan akhlak dan perbuatan. Tapi kepura-puraan itu tak akan bertahan lama. Oleh itu, saudari-saudari sekalian, semaklah dan telitilah akhlak dan tingkah seseorang lelaki itu sebelum anda lekas melafazkan kasih dan cinta. Periksalah kebiasaan dan hobinya. Bertanyalah tentang sikapnya terhadap solat lima waktu, ilmu dan agama. Lihatlah cara si dia berpakaian. Perhatikan reaksinya apabila berdepan dengan orang tua dan orang miskin. Tengoklah cara dia berbelanja. Pastikan tempat-tempat yang kerap dia kunjungi. Kalau boleh, kurangkan percakapan dalam pemerhatian kita. Kerana kita sudah pun tahu kebolehan lidah untuk membayangi kebenaran. Walaubagaimanapun, bertanyalah bila tidak pasti. Takut-takut kita yang salah anggap.

Soalan cepu emas

Setelah cukup masa yang kita gunakan untuk menilai "tangan" dan "kaki" si lelaki tadi, tibalah masa untuk kita bertanyakan dia soalan yang ditunggu-tunggu, soalan cepu emas. Apakah dia soalan tersebut? Adakah ia "How do you feel about me? ataupun "Will you marry me?"?

Yang menariknya tentang soalan ini, anda sendiri perlu mampu untuk menjawabnya dengan tepat dan yakin sebelum anda boleh bertanyakan soalan ini kepada orang lain. Dan dalam pengalaman yang saya ada, jarang-jarang orang boleh bermain lidah memutar-belit cerita apabila mennjawab soalan ini.

Soalannya berbunyi: "Gambarkan kepada saya hari pengebumian awak." Minta si dia ceritakan kepada kita bagaimana dia mahu nyawanya diambil, bagaimana dia mahu dikenali sewaktu akhir hayatnya, siapakah yang akan mengimami solah jenazahnya, siapa pula orang-orang yang akan datang menziarahi pada hari pengebumiannya, dan segala yang berkaitan dengan hari yang penuh bermakna tersebut. Seperti yang saya katakan tadi, sangat penting untuk kita sendiri menjawab persoalan ini sebelum kita boleh bertanyakannya kepada orang lain. Kerana, kalau kita belum pernah mencuba untuk menjawab soalan ini, susah untuk kita menilai jawapan yang orang lain berikan. Dan, susah untuk lidah bermain kata-kata kerana dalam soalan ini terdapat persoalan ajal dan maut.

Tanyakan soalan ini kepada orang yang kita mahu kongsi hidup bersama. Bukannya soalan yang berkaitan dengan masa hadapan atau cita-cita hidup yang banyak dihiasi angan-angan yang tidak pasti. Tapi kematian itu pasti. Dan kematian yang baik (husnul khatimah) itulah wawasan hidup kita.

Kenapa target-nya wanita?

Saya sengaja meletakkan golongan sasaran entri kali ini untuk wanita. Keputusan untuk berumah tangga adalah satu keputusan yang besar yang mampu menentukan arah dan corak perjalanan hidup kita. Dan kita sedar, sebagai orang Islam, talak itu berada dalam tangan lelaki. Jadi, mereka (orang laki-laki) ada peluang atau kuasa talak untuk melepaskan diri daripada perkahwinan yang dibina atas dasar yang salah. Bagi wanita, keadaannya berbeza. Kalau mereka terjebak dengan perkahwinan dengan lelaki yang tidak soleh, yang tidak mampu untuk membina akhirat yang cemerlang, tidak mudah bagi mereka untuk melepaskan diri dari belenggu hubungan tersebut. Makanya, lebih penting bagi wanita untuk berhati-hati dan berfikir tentang masalah ini berbanding laki-laki.

wAllahu 'alam

Monday, July 26, 2010

"Tak semua manusia sempurna"


"Tak semua manusia sempurna!". Biasakan kita dengar ungkapan begini? Inilah kata-kata yang hanya keluar daripada orang-orang yang merugi. Saya ingin bertanya para pembaca dengan satu soalan, "Adakah manusia yang sempurna?"

Kesempurnaan itu hanya milik Allah S.W.T. Sedangkan ar-Rasul S.A.W. yang mulia juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan-kesalahan. Sekali lagi saya ulang, Nabi S.A.W. juga melakukan kesalahan, bukan dosa. Saya tak mahu ada kontroversi yang tak sepatutnya di sini kerana maksud tulisan saya kali ini bukan untuk membahas status kemaksuman Nabi kita yang mulia. Bukti Nabi S.A.W. pernah melakukan kesalahan ada direkodkan Allah yang Maha Sempurna dalam surah 'Abasa. Boleh semak sebab nuzul (penurunan) potongan ayat-ayat pertama daripada surah itu.

Sekarang mari kita bincangkan sebab-sebab biasa mengapa orang mengungkapkan kata-kata yang sungguh tak logik ini - "tak semua manusia sempurna". Saya akan bukakan satu senario yang biasa untuk anda sama-sama fikirkan tentang sebab-sebab yang biasa mengapa orang mengeluarkan kata-kata tersebut.

Penulis: "Kamu tak nak cuba bertudung ke?"

Perempuan Muslim 1: "Apa gunanya pakai tudung, kalau hati busuk. Suka benci dan mengata orang lain. Iman tu letaknya kat hati."

Penulis: "Kalau macam tu, jadilah perempuan yang bertudung dan berhati bersih. Tak membenci dan tak mengata orang lain."

Perempuan Muslim 1: "Tak semua manusia sempurna."

Penulis: "Saya tak mintak kamu menjadi sempurna. Saya hanya mintak kamu berhijab dan menjaga lidah."

Perempuan Muslim 1: "TAK SEMUA MANUSIA SEMPURNA."

Penulis: "Ada ke manusia yang sempurna??"

Kita tak harus jadi manusia yang bodoh. Dalam senario di atas, ada satu jenis kebodohan yang ingin saya utarakan. Kebodohan yang saya maksudkan ialah apabila kita mengharamkan kebaikan ke atas diri kita atas kelemahan orang lain.

Kalau kita lihat perempuan Muslim 1 tadi, dia telah mengharamkan dua jenis kebaikan yang sangat-sangat dituntut agama ke atas dirinya iaitu menutup aurat dan menjaga lidah hanya kerana ada orang-orang bertudung yang lemah dan tidak dapat menjaga lidah mereka. Bila dicadangkan untuk bertudung, dibawanya isu orang-orang yang bertudung tetapi tak dijaga lidahnya. Bila diminta menjaga lidahnya, beralasankan "tak semua manusia sempurna" pula.

Setidak-tidaknya, di akhirat nanti, perempuan-perempuan yang bertudung tetapi tidak menjaga lidah hanya akan diazab akibat keceluparan lidah mereka. Tetapi, kita yang tak menutup aurat dan tak mahu pula menjaga lidah akan menerima dua jenis azab. Na'uzubillah. Azab Allah itu sangat pedih. Jangan main-main. "Dan cukuplah (neraka) Jahannam itu sebagai tempat penyeksaan." (an-Nisa': 55)

Ingat, lima kali dalam al-Quran Allah S.W.T. berfirman, "La taziru wazirun wizrata ukhra" yang bermaksud, "Tidaklah seorang penanggung dosa itu menanggung dosa orang lain." Kenapa harus kita jadi bodoh dengan mengharamkan kebaikan ke atas diri kita atas dosa orang lain? Kita yang rugi. Kita yang rugi di dunia, dan di akhirat.

Islam menuntut ummatnya supaya sentiasa berusaha ke arah kesempurnaan dan sentiasa bertaubat di atas segala kekurangan dan kelemahan. Dengan terus-terusan berusaha ke arah pola kesempurnaan, kita akan jauh daripada pola kemaksiatan. Dan dengan menjauhkan diri daripada pola kemaksiatan, datanglah melimpah ruah rahmat dari Tuhan. Dan dengan itu, hakikatlah satu kebahagiaan.

wAllahu 'alam

Thursday, July 22, 2010

Jawatan: Antara amanah dan bermewah-mewah II


"Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. ." - sedutan daripada artikel Dr. MAZA "Agama Bukan Candu untuk Mengkhayalkan Orang Miskin".

Sambung baca di sini.

Thursday, July 15, 2010

Jawatan: Antara amanah dan bermewah-mewah



Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah diminta untuk memberi komen tentang keadaan Saidina Umar Abdul Aziz yang menolak untuk menunggang kuda yang diberikan kepadanya sebagai kenderaan rasmi ketika beliau dilantik sebagai khalifah. Saidina Umar ketika itu sebaliknya memilih untuk terus menggunakan keldainya sebagai kenderaan, walaupun beliau sudah bergelar khalifah Islam. Dan Tuan Guru ternyata terharu dengan soalan itu.

Entah apa yang dikecewakan oleh Tuan Guru. Sedangkan dia sendiri menggunakan kereta Protonnya untuk berulang-alik ke pejabat menteri besar hari-hari. Mungkin Tuan Guru terharu kerana beliau masih lagi menggunakan kereta Mercedes kerajaan negeri untuk perjalanan jauh.

Semoga Allah tetapkan hati beliau di atas jalan-Nya.

wAllahu 'alam

Tuesday, July 13, 2010

Pengalaman Hj Jamaluddin di Gaza II



Kita sambung kisah kedua daripada perkongsian pengalaman Tuan Haji Jamaluddin Elias, sukarelawan kapal kemanusiaan Mavi Marmara dan juga Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia.

Kisah 2: Kami sehidup semati

Ketika Gaza menghadapi serangan tentera rejim Zionis pada Disember 2008, Tuan Haji Jamaluddin bersama dengan 7 orang doktor datang menghulurkan bantuan di bawah payung Yayasan Amal Malaysia. Suatu petang, Tuan Haji bersama beberapa orang doktor. membuat rondaan ke khemah-khemah yang menempatkan anak-anak yang diyatim-piatukan oleh tentera Zionis laknatullah pada perang tersebut. Rondaan tersebut bertujuan untuk memastikan anak-anak itu berada dalam keadaan yang okay dan untuk memberikan selimut kepada mereka. Gaza berada dalam musim sejuk ketika itu. Suhu kadang-kala mencapai takat beku.

Di samping selimut dan peti pertolongan cemas, Tuan Haji membawa bersamanya sebekas gula-gula sebagai buah tangan lawatannya ke khemah anak-anak yang dilindungi Allah S.W.T. tersebut. Mereka pun menyelak pintu khemah yang pertama. Tuan Haji mengucapkan salam sambil tersenyum melihat lebih kurang 20 kanak-kanak yang tinggal di dalam khemah itu. Ada yang membalas salam dan senyuman beliau, ada yang masih leka bergurau, dan ada yang duduk diam sahaja.

Rombongan Tuan Haji pun mula mengeluarkan selimut untuk diberikan kepada kanak-kanak di situ. Lantas seorang anak lelaki yang berusia tidak lebih daripada 13 tahun bangkit ingin menyambut pemberian rombongan Tuan Haji. "JazakAllahu khair," ucap anak itu kepada Tuan Haji tanda terima kasih. Mungkin dia yang paling tua di kalangan anak-anak yatim yang tinggal di situ.

Kemudian, anak lelaki tadi cepat-cepat memanggil 'adik-adik'-nya. Mereka segera menyusun diri dalam kumpulan-kumpulan mengikut saiz badan. Yang bersaiz kecil disatukan dalam kumpulan yang sama; yang besar bersama yang besar. Satu selimut dikongsikan antara tiga hingga lima orang kanak-kanak. Mereka sibuk memastikan bahawa tiada siapa yang akan tidur kesejukan malam ini.

Tuan Haji kemudian mengeluarkan bekas gula-gula yang dibawanya tadi. Dia pergi ke kumpulan-kumpulan kecil anak-anak tadi. Setiap seorang Tuan Haji beri satu gula. Seronok anak-anak ini. Sebiji gula-gula tadi seolah-olah satu big treat untuk mereka. Tuan Haji terus memberi gula-gula tadi, berpindah daripada satu kumpulan kecil ke kumpulan kecil yang lain.

Apabila beliau tiba di kumpulan yang terakhir, gula-gula yang dibawa Tuan Haji telah habis meninggalkan seorang anak perempuan kecil tanpa gula-gula. Sayu mata anak itu. Apa yang membuat Tuan Haji Jamaluddin terharu adalah, setiap anak-anak dalam kumpulan anak perempuan tersebut dengan segera membuka bungkusan gula-gula masing-masing. Mereka cuba memecahkan gula-gula dengan gigi untuk diberikan sebahagian kepada anak perempuan kecil tadi. Apa yang berlaku ialah anak perempuan itu akhirnya mendapat lebih banyak gula-gula daripada kanak-kanak lain. Tiada siapa merungut. Mereka semua berpuas hati kerana tiada siapa yang tidak dapat merasa gula-gula Tuan Haji Jamaluddin.

Sekali lagi, mari kita bandingkan keadaan anak-anak yatim di bumi perjuangan itu dengan anak-anak kita yang tidak pernah kenal erti lapar.

wAllahu 'alam.

Pengalaman Hj Jamaluddin di Gaza

Ahad lepas, Allah telah memberi peluang kepada saya untuk bertemu dengan seorang daripada sukarelawan Mavi Marmara, Tuan Hj. Jamaluddin Elias. Beliau merupakan Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia, salah sebuah humanitarian NGO di Malaysia.

Kisah yang ingin saya kongsikan bukanlah daripada pengalaman beliau ketika berlayar dengan kapal Mavi Marmara. Tiga kisah di bawah adalah sebahagian daripada pengalaman beliau di Gaza sewaktu peperangan Disember 2008. Waktu itu, beliau datang untuk memberi bantuan kemanusiaan di bawah payung Yayasan Amal Malaysia.

Kisah 1: "Kami mahu ummi, kami mahu abi."

Satu petang, setelah selesai bermesyuarat bersama sukarelawan-sukarelawan daripada segenap dunia, daripada pelbagai jenis organisasi, Tuan Hj Jamaluddin bersama beberapa rakan Yayasan Amal Malaysia pergi bersiar-siar mengambil angin. Tak jauh mereka berjalan, mereka melintasi longokan batu-bata dari rumah-rumah penduduk Gaza yang ranap dek bom Zionis.

Di atas runtuhan tersebut, ada beberapa orang anak-anak kecil yang sedang bermain-main. Tuan Haji dan rakan-rakan menghampiri kanak-kanak itu sambil memberi salam. Ketika Tuan Haji dan rakan-rakan sedang berusaha mendaki longokan batu-bata tersebut, terdengar suatu jeritan daripada seorang penduduk Gaza dalam lingkungan 40-an seolah-olah menegah perbuatan mereka. Tuan Haji tidak menghiraukan tegahan itu. Beliau benar-benar mahu bermesra dengan anak-anak bumi perjuangan itu.

Tuan Haji melutut di hadapan anak-anak itu dan dia sekali lagi memberi salam. Mereka menjawab dengan penuh ceria. Tuan Haji Jamaluddin menghulurkan tangan seolah-olah menawarkan dakapan kepada anak-anak itu. Seorang anak lelaki lantas merebahkan dirinya ke dalam dakapan Tuan Haji seraya bersuara, "Abi!". Laju mengalirkan air mata Tuan Haji. Seorang lagi si comel menerpa ke arah Tuan Haji dan beliau cepat-cepat melebarkan sebelah tangannya untuk menyambut anak itu ke dakapannya. Kanak-kanak yang lain juga cepat-cepat menuju ke arah kawan-kawan Tuan Haji yang lain. Sayup-sayup kedengaran rintihan suara, "Abi, abi".

Mereka ini adalah anak-anak yatim Gaza. Lelaki yang cuba menegah Tuan Haji dan rakan-rakan daripada mendekati anak-anak ini tadi sudah pun menjangkakan perkara begini akan terjadi. Anak-anak ini rindu belaian ayah dan ibu. Mereka begitu mendambakan hangat pelukan daripada ayah dan ibu.

Tuan Haji begitu terharu dengan peristiwa itu. Beliau berkata kepada saya, "anak-anak kita di Malaysia nak dipujuk, baru dapat kita peluk. Anak-anak yatim berlari minta dipeluk. Mereka tahu mahalnya nilai belaian ayah dan ibu."



Kisah 2 bersambung esok. Penat.

wAllahu 'alam

Monday, July 12, 2010

Our silence is a green light for Israel

"Each moment of international silence and inaction proves to be a commendation of Israeli oppression.

The longer a tyrant is allowed to commit such despicable acts against HUMANITY, the more atrocious and frequent such acts become.

First the evacuation of Palestinians from their land, then the closure, followed by the massacre in Gaza and the unending siege. What more is left to be done?!"


Full text can be obtained at al-Jazeera Magazine .


I had my breakfast at a Malay restaurant. I had a roti canai and teh ais . At the counter, there as a medium size poster of "Boycott Israel" with a long list of products to be boycotted. I asked the worker who was working behind the counter if they still have Milo ais and Maggi goreng . Surprisingly, they still do. What is funnier is that right behind the counter are cigarettes of various brands including Marlboro and Dunhill.

I think this is one of many side effects when we choose the wrong people to be our emissary of the Palestinian course. These "icons" of the Palestinian struggle, they don't have a clear idea of what this struggle is all about. So do the people who follow them.

Silence is no doubt a deadly weapon. But, to speak out about something you don't have the guts to do is just shooting blanks.

wAllahu 'alam