Sunday, March 27, 2011

Gua sedih

Gua sedih.

Bila gua dah mula bahasakan diri gua "gua" dan pembaca gua "lu", maknanya gua akan merungut tentang sesuatu yang gua rasa tersangatlah "annoying".

Pagi tadi gua berbual santai dengan sepupu gua. Nama dia Muhammad. Umur dia 8 tahun. Semalam gua solat Asar berjemaah dengan dia. Gua jadi imam. Dia tegur gua; dia cakap gua sujud sekejap sangat. Dia pun peringat kat gua. Kata dia, "Kita kalau solat, jangan main baca je do'a tahiyyat, tasbih, masa kita solat." Gua pun kasik respon, "Betul, betul."

"Kita ni selalu solat, bacaan semua cukup, lengkap. Tapi fikiran selalu ke tempat lain. Ingat TV, kawan, homework, macam-macam lagi la", Muhammad sambung tazkirah dia.

Gua cakap, "Abang pun ada masalah camtu. Susah betul nak khusyuk dalam solat."

"Memang susah. Tapi kita kena cuba jugak. Usaha banyak-banyak", sepupu gua yang kenit ni, tapi cerdik sambung lagi.

Gua tanya dia, "Kenapa Mat (nama manja dia) nak sangat khusyuk dalam solat?"

"Mat nak dapat Haqqul Yaqin!", pantas Muhammad menjawab.

"Apa tu Haqqul Yaqin?", gua tanya mintak penjelasan.

"Bila kita capai Haqqul Yaqin, kita takkan boleh nak lupa pada Allah. Mat tak nak lupa pada Allah. Jadi, Mat kena khusyuk semasa solat. Baru Mat boleh dapat Haqqul Yaqin", padat penjelasan sepupu gua ni.




Gua seronok bila tengok anak-anak kecil mampu menghayati iman macam Muhammad ni. Muhammad bercita-cita nak menuju Haqqul Yaqin. Tapi gua sedih. Gua teramat sedih bila member-member gua yang dah lebih 10 tahun baligh, bercita-cita nak jadi hero dalam cerita cinta masing-masing.

Muhammad tu berapa umur dia? 8 tahun la brader. Lu, umur dah lebih 18 tahun, bulu ketiak pun dah panjang mencecah ke pinggang, tak reti-reti nak menghayati makna iman. Lu patut malu. Muhammad ni lebih layak nikah dengan awek yang lu tatang macam minyak yang penuh. Muhammad ni jauh lebih matang daripada lu. Muhammad ni lagi dekat dengan Allah daripada lu.

Lu patut malu.

Lu, makna Haqqul Yaqin pun tak tahu. Bila tak tahu, tak nak belajar. Bodoh. Sombong pulak. Bodoh sombong. Tapi mungkin lu bukan sombong. Gua nak berbaik sangka. Nak berharap. Gua fikir, lu tak tahu pun apa yang lu tak tahu. Jadi lu pun tak tahu apa yang lu patut belajar.

Gua ni marah-marah, tulis perkara-perkara macam ni, kena beringat jugak.

Ya Allah,
Aku ingin berdo'a, sekarang.
Tolong dengar luah kata hatiku.

Aku ingin mahukan hanya Engkau,
aku ingin cintakan hanya Engkau,
aku ingin berkorban untuk Engkat,
aku ingin hidup dan mati untuk Engkau.

Pimpin tanganku wahai ar-Rahman,
pandanglah aku dalam solatku,
pandulah aku dalam langkahku,
peliharalah aku pada perkataanku,
tetapkan aku atas jalan Nabi-Mu,
lindungiku daripada jilatan api neraka-Mu.

Ameen, ya Rabb.

Gua masih sedih.

wAllahu 'alam.

Wednesday, March 23, 2011

Harga. Siapa yang letak?

Apa yang kita buat,
hanya boleh dihargai,
bila ia jelas,
boleh dinampak,
boleh dilihat.

Manusia tak selalu nampak kita,
Jadi, manusia tak mampu hargai semua yang kita usaha,
Allah pula selalu nampak kita,
Jadi, Dia tak akan pernah mensia-siakan usaha kita.

Oh Allah,
ampunkan aku,
selalu saja aku gantikan,
berkat dan redha-Mu,
dengan puji dan keji manusia,
manusia yang fana',
Allahummaghfirli....

wAllahu 'alam

Wednesday, March 9, 2011

Kita buat Quran sekadar penyeri majlis

Saya tak ragu-ragu nak cakap yang ummat kita sekarang dhaif, lemah. Sebab tiap-tiap hari saya boleh nampak bagaimana ummat ini membaca al-Quranul Karim hanya untuk tujuan-tujuan yang bukan asas. Contohnya, bacaan untuk membuka dan memberkati majlis, bacaan untuk si mati, bacaan ketika kenduri kesyukuran sempena menyambut hari lahir atau hari ulang tahun perkahwinan, dan sebagainya.

Bila ummat Islam sudah mula nampak al-Quran daripada persepsi yang sempit, seperti yang saya ceritakan kat atas, maknanya ummat Islam sedang terkapai-kapai, tak ada arah tujuan. Allah yang Maha Kaya turunkan al-Quran kepada kita untuk dibuat panduan; rujukan dalam segala perkara yang bersangkut-paut dengan hidup dan mati. Sahabat-sahabat Nabi S.A.W. sangat berdisiplin dalam menghayati al-Quran. Mereka akan belajar hanya 10 ayat dan berusaha, bermujahadah untuk mengamalkan ayat-ayat tersebut sehingga ayat-ayat itu meresap ke dalam darah daging mereka. Tujuan ayat-ayat itu pun menjadi tabiat hidup mereka. Hanya setelah itu mereka berganjak untuk mempelajari 10 ayat yang lain.

Lagi menyedihkan, ada pula segolongan manusia daripada ummat ini yang sibuk mempelajari al-Quran untuk tujuan berhujah dan memenangkan kelompok masing-masing. Intipati al-Quran ditelaah untuk menjadi pedang dan perisai ketika bertarung dalam debat-debat yang mungkin tak akan membuahkan amal soleh. Lebih mungkin, debat-debat ini akan menambah dosa, benci dan hasad.

Ummat Islam di zaman ar-Rasul S.A.W. dulu sedikit bilangannya. Tak kaya harta materialnya. Tapi hidup jiwanya dengan ruh al-Quran. Sebab itu mereka kuat. Sebab itu Allah sayang pada mereka. Musuh pula gementar bila berhadapan dengan mereka.

Al-Quran ini seharusnya bila dibaca, bergetarlah jiwa kerana takutnya kepada Allah. Atau tenanglah jiwa kerana yakin dengan rahmat Allah. Atau bersemangatnya jiwa kerana harapnya pada syurga Allah. Begitulah yang sepatutnya.

"Kalaulah Kami turunkan al-Quran ini untuk sebuah gunung, pasti kamu akan melihat gunung itu tunduk sehingga hancur terbelah sebab takutnya ia kepada Allah. Perumpamaan-perumpamaan ini kami lukiskan buat manusia supaya mereka berfikir." (al-Hasyr: 21)

wAllahu 'alam

Sunday, February 13, 2011

Kerbau untuk orang bandar


Aku bukan orang kampung. Kalau aku diberi kerbau, aku mati. Kerbau pun mati. Kalau aku diberi sawah sebidang, aku mati. Sawah jadi lalang.

Pak Man bukan orang bandar. Kalau ditinggalnya Pak Man kat stesen LRT, Pak Man mati. LRT tetap berlalu pergi. Kalau diberi Pak Man satu set komputer, Pak Man tak boleh hidup. Komputer pun tak hidup.

Orang kampung tak sama dengan orang bandar. Mereka berbeza. Tapi berbeza bukan bermakna ada yang lebih mulia atau ada yang lebih hina.

Orang Melayu ada satu masalah; mereka tak boleh terima perbezaan. Kalau ada seseorang yang lain, maknanya status atau kedudukan orang tersebut pun lain. Cara pandang untuk dia pun lain. Cara cakap pun begitu, lain.

Tuhan yang Maha Bijaksana jadikan kita berbeza bersebab, berhikmah. Bukan untuk saling rendah-merendah. Tapi untuk saling berkongsi anugerah. Berkasih dan berhemah. Belajar untuk bertolak ansur dan beralah. Kita mencari makna hidup dengan memberi dan menerima.

wAllahu 'alam.

Saturday, February 12, 2011

People's voice, people's choice

Algerians are coming out to claim their rights. They are out now to demand for clean and just leadership.

Feminists in Italy are the latest addition to the bigger protest group demanding Berlusconi to step down. Italians are showing now that they will no more tolerate immorality in leadership.

Thousands of Algerians demanding Algerian leader resign

The wave of revolutionary people's voice is hitting the world now. Which country will it hit next?

I am sure Malaysia will be the last one.

wAllahu 'alam

Narcissism

"Kalau aku nak cakap belakang pasal dia, boleh je...."

Sombong betul kita kalau tergamak lidah kita bercakap macam tu. Siapalah kita nak cakap buruk pasal orang lain, walaupun orang lain tengah sibuk mengumpat kita. Apa yang kita ada? Lidah dan kotak suara yang kita guna setiap hari untuk berkata-kata pun bukan hak kita secara hakikatnya.

Tak siapa bantah tentang dosa perbuatan mengumpat. Orang yang mengumpat kena berhenti mengumpat. Cepat-cepat bertaubat. Pohon maaf pada yang diumpat. Kena bersihkan nama yang diumpat daripada fitnah-fitnah atau tuduhan yang tidak benar.

Orang yang kena umpat pula, kena belajar sedar diri. Kadang-kadang apa yang orang umpat tentang kita tu memang betul. Kita kena ingat, pokok kalau tak ada angin bertiup, tak bergoyang. Bila berada dalam konflik macam ini, jangan cepat sombong. Jangan cepat sangat cakap, "Apela salah aku...". Sebab memang banyak salah kita. Kita yang narcissistic; kita selalu rasa diri kita bagus. Senang-senang syaitan tutup mata hati kita bila kita pandang imej diri kita dalam cermin. Yang kita nampak hanya susuk fizikal yang lengkap sempurna. Kotor-kotor dalam hati kita tak perasan.


Selingan: Dalam mitos Greek, Narcissus adalah seorang pemburu yang sangat cantik rupa parasnya. Oleh kerana ketaksuban terhadap kehebatan rupa parasnya sendiri, Narcissus memandang hina kepada mana-mana wanita yang jatuh hati padanya. Dia merasakan tiada seorang wanita pun yang cukup cantik dan layak menjadi teman hidupnya. Narcissus akhirnya jatuh cinta pada refleksi imej dirinya sendiri di sebuah tasik. Dia terus terpaku di situ dan akhirnya mati di situ kerana tidak mampu meninggalkan cintanya: refleksi imej dirinya sendiri.

Aku perlu istighfar. Aku kena bertaubat. Sebab aku yakin acapkali aku terlepas kata-kata takbur macam tu bila tengah marah.

--

Malam ini aku datang,
aku cari jalan pulang,
jangan Kau tolak hadirku,
jangan Kau paling hatiku.

Dalam dua rakaat yang ringkas,
aku tagih ihsan dan belas,
aku pohon taqwa dan ikhlas,
aku harap do'aku berbalas.

Beseri, 13.02.11

wAllahu 'alam

Thursday, December 16, 2010

Aku ingin bernafas, aku ingin beriman

Wahai Tuhan,
aku ingin bernafas,
pegang aku lekas,
jangan Kau lepas-lepas,
walau kelip mata sekilas,
walau berlalu masa sepintas.

Wahai Tuhan,
aku ingin bertuhan,
ingin ada hala tujuan,
tak ingin aku jadi sia-sia,
tak ingin aku jadi buta,
tak ingin hidup ku tak bermakna.

Wahai Tuhan,
aku ingin beriman,
agar jiwaku tetap mekar berkilauan,
dan peribadiku segak dan tampan,
agar selalu ku bersiap
untuk hari Kemudian,
dan kembali aku nanti
dengan sebuah kemenangan,
diraikan bersama bidadari-bidadari rupawan,
menuntut janji-janji-Mu yang lumayan,
termeterilah sebuah harapan,
terhapuslah segala kedukaan.

Perkenankan wahai ar-Rahman,
segala do'a dan permintaan.

Pasir Tumboh, 15.12.10