Tuesday, August 25, 2009

Salam Ramadhan untuk mereka yang beriman

Ramadhan datang sekali lagi. Ramadhan yang ke-24 dalam hidup saya; Ramadhan yang ke-20 dalam jangka hidup yang saya sedar akan kewujudan Tuhan. Pada Ramadhan yang telah lalu, Allah telah menganugerahkan saya dengan peringatan-peringatan yang pelbagai tentang kemuliaan dan keutamaan bulan puasa.

Universiti vs. Dusun buah vs. Bengkel


Sewaktu di sekolah saya digambarkan akan bulan Ramadhan ini sebagai sebuah "Universiti". Di akhirnya kita akan keluar sebagai "Graduan" bersijilkan "Taqwa". Pernah juga saya mendengar tazkirah yang memberi analogi "Dusun buah" kepada bulan Ramadhan. Dusun ini dipagar rapi. Tiba suatu masa, pintunya akan dibuka dan kita diberi izin oleh "Tuan" dusun untuk memungut sebanyak-banyak buah-buahan yang kita mahu. Antara analogi lain yang tentang bulan mulia ini ialah "Bengkel kereta". Di "bengkel" ini kita akan diservis setelah melalui pelbagai mehnah sepanjang 11 bulan. Di hujungnya, menjelang Eidul Fitr, kita akan kembali kepada fitrah insani, seumpama bayi yang baru dilahirkan.


Pahala berganda


Syukur selagi saya ungkapkan kepada Tuhan yang Maha Pemurah kerana saban tahun saya diingatkan oleh ayah, guru-guru, dan kawan-kawan tentang ganjaran-ganjaran yang Tuhan janjikan di bulan Ramadhan. Amalan yang sunat diganjarkan dengan pahala amalan wajib. Amalan yang wajib digandakan pahala sebanyak 70 kali. Pintu langit dibukakan seluas-luasnya. Pintu neraka ditutup seluruhnya. Syaitan dirantaikan. Tiada do'a yang tidak dimakbulkan. Dan banyak lagi kelebihan dan peluang-peluang meraih kasih dan syurga Allah S.W.T.


Beriman atau tidak?


Tapi tujuan tulisan saya kali ini bukanlah untuk membandingkan analogi yang mana yang lebih sempurna atau menuntut pembaca berkira-kira tentang pahala dalam beramal. Yang saya ingin kongsikan di sini adalah sejauh mana kita beriman dengan analogi-analogi yang kita dengar tentang kehebatan bulan Ramadhan dan sejauh mana kita berminat dengan tawaran-tawaran istimewa Allah S.W.T. sepanjang bulan yang mulia ini. Kerana keimanan kita terhadap kemuliaan bulan Ramadhan ini sebenarnya yang menentukan sekuat mana ibadah kita dalam bulan ini.

p/s: Maaf kerana tidak dapat menyambung tulisan yang lepas (tajuk fanaticism). Saya rasakan keutamaan perlu diberikan kepada isu keimanan terhadap kemuliaan Ramadhan memandangkan kita berada di dalam bulan keberkatan ini.

wAllahu 'alam