Thursday, July 24, 2008

Syukur Seorang Ibu

"Ketahuilah wahai ibu,
anakmu itu beriman pada Allah yang satu,
anakmu itu tidak tinggal solat limat waktu,
anakmu itu apabila mengalunkan kalam Tuhan begitu merdu,
cintanya pada agama teguh membeku,
do'anya tidak putus mengalir untukmu.

Pujilah akan Tuhan mu,
tanda syukur seorang ibu."

-Pasir Tumboh, 14/07/08

Tuesday, July 22, 2008

Pondok Pasir Tumboh: Sekilas Imbau

Hari ini hari terakhir di Pondok Pasir Tumboh. Keberatan rasanya mahu meninggalkan daerah Pasir Tumboh yang aman ini. Ibadat belum puas. Zikir belum berbekas. Hati masih lagi buas. Oleh kerana nafsu yang masih belum tumpas. Insha Allah, sedikit bekalan yang Allah izinkan aku bawa pergi bersama akan cuba dilazimkan. Ada perancangan untuk ke sana lagi, menuntut ilmu Allah dan hikmah yang tersangat luas. Semoga dapat lagi berdamping dengan orang-orang soleh. Kembara ke Pondok Pasir Tumboh kali kedua akan bersama adinda Afiq Naqiuddin. Kalau masih ada umur, hujung tahun berangkatlah kami.

Untuk perkongsian kali ini, aku ingin namakannya sebagai "Bersolat seperti Seorang Tua". Penghuni dan pelajar Pondok Pasir Tumboh meliputi segenap lapisan umur. Dari semuda 13 tahun hingga kepada yang sudah bongkok tiga. Yang menarik perhatian aku ialah penghuni-penghuni yang sudah mencecah usia emas. Ada seorang pakcik tua, rambut putih semuanya, sudah bongkok tiga, tubuh juga sudah mengecut, tinggal selang satu pondok di belakang pondok yang kutumpang. Sempat aku bertegur sapa dengannya sebelum aku meninggalkan pondok petang tadi, ketika dia sedang bersusah payah ingin mengeluarkan basikalnya dari bawah pondok.

Mari kita tumpukan perhatian kepada cerita bagaimana aku belajar satu jalan untuk mengenali Tuhan daripada solat si pakcik tua ini. Si pakcik tua ini seingat dalam pemerhatian aku, tidak pernah ketinggalan akan solat jemaah di masjid. Termasuk subuh wahai pembaca-pembaca. Si pakcik tua ini kalau dikira dari segi syariat, sudah boleh dikatakan uzur untuk ke masjid. Dia mungkin mengambil 2 kali masa untuk orang muda belia ke sesuatu tempat. Bahkan, mungkin lebih lagi. Tapi hatinya masih gagah mencari Tuhan yang Maha Pencipta.

Si pakcik tua apabila melakukan solat, teramatlah lama. Orang tua, sendi-sendinya sudah berkarat. Untuk melengkungkan sendi-sendi, menjatuh dan membangkitkan tubuh sudah tersangat payah. Tetapi, di sebalik kepayahan si pakcik tua untuk rukuk dan sujud, berpindah daripada satu rukun solat kepada yang lain, aku lihat kesempurnaan dan ketenangan dalam solatnya. Thama'ninah terjaga, pasti. Bersolat tanpa gundah gelisah. Rukun berpindah tanpa huru-hara. Setiap pergerakan dilakukan dalam keadaan berhati-hati. Setiap huruf dalam bacaan-bacaan solat terpelihara hak-haknya. Moga-moga Tuhan menerima solat si pakcik tua.

Berlawanan dengan solat si muda yang hidupnya rancak. Lebih-lebih lagi pemuda kota. Mengejar masa ketika solat. Mereka ini berkira-kira tentang masa dengan Tuhan yang Menjadikan dirinya yang kerdil. Layakkah dia untuk berbuat begitu? Layakkah kita? Tiada ketenangan, tiada penghayatan. Khusyu' pasti jauh sekali. Ambillah pengajaran daripada solat si pakcik tua. Murahkanlah hati terhadap masa untuk Pencipta kita. Pencipta aku dan engkau, dalam segala yang baharu--yang bermula dengan tiada. Semoga di hari pengadilan nanti, Tuhan Pemilik Arasy mahu-mahu melihat wajah kita yang hina dina.

wAllahu 'alam
(Gambar-gambar akan menyusul, insha Allah)

Saturday, July 12, 2008

Kembara ke Kelantan

I arrived at Kota Bharu at 8.00 am. I am exhausted now out of a 12-hour journey from Johor Bahru. I straight went to a budget hotel in the middle of the city where I wait for Juwaidi. He arrived here a couple hours earlier and all hotels were fully booked. He then waited for me at a mosque. We're gonna take a shower and buy some stuff before heading to Pondok Pasir Tumbuh in the afternoon. One interesting thing: Juwaidi's got a new haircut. He now looks a bit rougher. Grrghh =P

Well, I will probably not write for a while. But insha Allah, more adventures are waiting ahead and I will share them here as soon as I get back home. I pray that Allah gives us the strength to learn more about HIM in our kembara. See you guys. Wassalam.

Thursday, July 3, 2008

Motorsikal & Kereta

Baru sudah mencuci motorsikalku. Kuasa 115cc. Bermastautin di Cyberjaya, aku sering kali bertembung atau berselisih dengan kereta-kereta mewah. Saban hari melihat bermacam-macam kereta mewah menimbulkan rasa tidak cukup dengan nikmat yang sedia ada. Mahukan kereta, belum berkemampuan. Jadi, aku memikirkan untuk membeli motorsikal yang berkuasa lebih besar.

Motorsikal dengan kuasa 150 cc mungkin boleh mengimbangi rasa kerdil yang melanda setiap kali aku mengharungi jalan raya sekarang ini. Tetapi sampai bila ia mampu membendung nafsu yang menolak untuk sesuatu yang lebih hebat? Adakah aku yakin bahawa aku akan puas dan tidak mahukan sesuatu yang lebih besar? Aku tidak yakin. Seikhlas hati aku tidak. Nanti selepas setahun atau kurang ber"kuda" dengan motorsikal baru, aku pasti yang aku akan mencari sesuatu yang lebih besar daripada itu semata-mata atas sebab rasa tidak cukup. Alasan-alasan yang berbaukan "untuk memenuhi keperluan" pun akan mula dirangka demi mensahihkan keinginan nafsu yang pada hakikatnya tidak akan puas. Jadi sampai bila baru mungkin aku puas?

Untuk menjawab persoalan itu, mungkin aku perlukan satu persoalan baru. Persoalan yang lebih tepat. Mungkin aku perlu bertanya adakah Tuhan yang Maha Kaya menjadikan nafsu dalam diri manusia untuk mereka puasi? Atau sekadar untuk dipenuhi dengan panduan wahyu dari yang menjadikan nafsu itu?

wAllahu 'alam

Tuesday, July 1, 2008

Kalau Mampu Penuhi, Baru Boleh Buat Maksiat

Ibrahim ibn Adham, seorang tabi'in, apabila didatangi oleh seorang yang acap melakukan maksiat kepada Tuhan dan lantas si pemuda meminta nasihat daripada Ibrahim ibn Adham, seorang soleh.

Ibrahim ibn Adham dalam nasihatnya telah menyatakan: "Andai kau mampu penuhi lima syarat yang akan aku kemukakan, kamu layak bermaksiat sepuas hatimu." Lima perkara itu adalah:

1) Jangan makan dari rezeki Allah S.W.T.
2) Jangan tinggal di bumi Allah S.W.T.
3) Cari tempat sembunyi yang Allah S.W.T. tidak mampu temukan.
4) Jika malaikat Maut datang ingin mengambil nyawa kau, katakan ini kepadanya: "Tangguhkan dulu kematianku."
5) Pada masa malaikat Zabaniyah ingin membawamu ke neraka, katakan ini kepadanya: "Aku tidak mahu ikut kamu."

Andai terkudrat olehmu untuk melangsaikan salah satu daripada syarat yang di atas, maka kamu seorang yang layak untuk berbuat maksiat.

wAllahu 'alam