Hari ini hari terakhir di Pondok Pasir Tumboh. Keberatan rasanya mahu meninggalkan daerah Pasir Tumboh yang aman ini. Ibadat belum puas. Zikir belum berbekas. Hati masih lagi buas. Oleh kerana nafsu yang masih belum tumpas. Insha Allah, sedikit bekalan yang Allah izinkan aku bawa pergi bersama akan cuba dilazimkan. Ada perancangan untuk ke sana lagi, menuntut ilmu Allah dan hikmah yang tersangat luas. Semoga dapat lagi berdamping dengan orang-orang soleh. Kembara ke Pondok Pasir Tumboh kali kedua akan bersama adinda Afiq Naqiuddin. Kalau masih ada umur, hujung tahun berangkatlah kami.
Untuk perkongsian kali ini, aku ingin namakannya sebagai "Bersolat seperti Seorang Tua". Penghuni dan pelajar Pondok Pasir Tumboh meliputi segenap lapisan umur. Dari semuda 13 tahun hingga kepada yang sudah bongkok tiga. Yang menarik perhatian aku ialah penghuni-penghuni yang sudah mencecah usia emas. Ada seorang pakcik tua, rambut putih semuanya, sudah bongkok tiga, tubuh juga sudah mengecut, tinggal selang satu pondok di belakang pondok yang kutumpang. Sempat aku bertegur sapa dengannya sebelum aku meninggalkan pondok petang tadi, ketika dia sedang bersusah payah ingin mengeluarkan basikalnya dari bawah pondok.
Mari kita tumpukan perhatian kepada cerita bagaimana aku belajar satu jalan untuk mengenali Tuhan daripada solat si pakcik tua ini. Si pakcik tua ini seingat dalam pemerhatian aku, tidak pernah ketinggalan akan solat jemaah di masjid. Termasuk subuh wahai pembaca-pembaca. Si pakcik tua ini kalau dikira dari segi syariat, sudah boleh dikatakan uzur untuk ke masjid. Dia mungkin mengambil 2 kali masa untuk orang muda belia ke sesuatu tempat. Bahkan, mungkin lebih lagi. Tapi hatinya masih gagah mencari Tuhan yang Maha Pencipta.
Si pakcik tua apabila melakukan solat, teramatlah lama. Orang tua, sendi-sendinya sudah berkarat. Untuk melengkungkan sendi-sendi, menjatuh dan membangkitkan tubuh sudah tersangat payah. Tetapi, di sebalik kepayahan si pakcik tua untuk rukuk dan sujud, berpindah daripada satu rukun solat kepada yang lain, aku lihat kesempurnaan dan ketenangan dalam solatnya. Thama'ninah terjaga, pasti. Bersolat tanpa gundah gelisah. Rukun berpindah tanpa huru-hara. Setiap pergerakan dilakukan dalam keadaan berhati-hati. Setiap huruf dalam bacaan-bacaan solat terpelihara hak-haknya. Moga-moga Tuhan menerima solat si pakcik tua.
Berlawanan dengan solat si muda yang hidupnya rancak. Lebih-lebih lagi pemuda kota. Mengejar masa ketika solat. Mereka ini berkira-kira tentang masa dengan Tuhan yang Menjadikan dirinya yang kerdil. Layakkah dia untuk berbuat begitu? Layakkah kita? Tiada ketenangan, tiada penghayatan. Khusyu' pasti jauh sekali. Ambillah pengajaran daripada solat si pakcik tua. Murahkanlah hati terhadap masa untuk Pencipta kita. Pencipta aku dan engkau, dalam segala yang baharu--yang bermula dengan tiada. Semoga di hari pengadilan nanti, Tuhan Pemilik Arasy mahu-mahu melihat wajah kita yang hina dina.
wAllahu 'alam
(Gambar-gambar akan menyusul, insha Allah)
1 comment:
owh.. teringat bapak aku yg akan g mesjid everytime timesolat.. so aku secare otomatiknye solat berjemaah kat mesjit kl lepak umah..
skang...? hmmm......
Post a Comment