Baru sudah mencuci motorsikalku. Kuasa 115cc. Bermastautin di Cyberjaya, aku sering kali bertembung atau berselisih dengan kereta-kereta mewah. Saban hari melihat bermacam-macam kereta mewah menimbulkan rasa tidak cukup dengan nikmat yang sedia ada. Mahukan kereta, belum berkemampuan. Jadi, aku memikirkan untuk membeli motorsikal yang berkuasa lebih besar.
Motorsikal dengan kuasa 150 cc mungkin boleh mengimbangi rasa kerdil yang melanda setiap kali aku mengharungi jalan raya sekarang ini. Tetapi sampai bila ia mampu membendung nafsu yang menolak untuk sesuatu yang lebih hebat? Adakah aku yakin bahawa aku akan puas dan tidak mahukan sesuatu yang lebih besar? Aku tidak yakin. Seikhlas hati aku tidak. Nanti selepas setahun atau kurang ber"kuda" dengan motorsikal baru, aku pasti yang aku akan mencari sesuatu yang lebih besar daripada itu semata-mata atas sebab rasa tidak cukup. Alasan-alasan yang berbaukan "untuk memenuhi keperluan" pun akan mula dirangka demi mensahihkan keinginan nafsu yang pada hakikatnya tidak akan puas. Jadi sampai bila baru mungkin aku puas?
Untuk menjawab persoalan itu, mungkin aku perlukan satu persoalan baru. Persoalan yang lebih tepat. Mungkin aku perlu bertanya adakah Tuhan yang Maha Kaya menjadikan nafsu dalam diri manusia untuk mereka puasi? Atau sekadar untuk dipenuhi dengan panduan wahyu dari yang menjadikan nafsu itu?
wAllahu 'alam
No comments:
Post a Comment