Sunday, September 6, 2009

Kenapa masih sama?

Mungkin sahabat-sahabat pembaca merasakan tulisan saya yang kali ini terlalu negatif. Maaf saya pohonkan. Bukan kemahuan saya merasa begini. Tetapi, keadaan sekeliling yang banyak mempengaruhi. Kecewa kadang-kadang. Tapi bila ingatkan Tuhan itu Maha Kuasa, tersinar kembali harapan dari celah-celah lubuk hati. Allah Maha Besar.

Kurang ajar dengan Tuhan

Baru-baru ini, pada malam Hari Kemerdekaan yang ke-52, saya dan seorang sahabat baru selesai i'tikaf di Masjid Putra, Putrajaya. Tak sempat pun beberapa langkah kami keluar meninggalkan pintu gerbang masjid, mata kami terbeliak melihat pasangan-pasangan muda Melayu Islam berkesedudukan di sekitar pintu masuk masjid. Saya melihat tangan-tangan lelaki merayap meraba bahagian-bahagian sulit perempuan. Walhal di dalam masjid, masih ada jemaah yang beri'tikaf, membaca al-Quran, berwirid, solat dan sebagainya. Jijik!



Bayangkan para pembaca yang saya hormati sekalian, bagaimana boleh amal saleh dan maksiat dipisahkan oleh jarak fizikal beberapa meter sahaja? Mungkinkah ini dikeranakan oleh kelesuan dakwah dan tarbiyyah? Bahkan, itulah sebab paling mungkin.


Dichotomy


Apabila dakwah dan tarbiyyah mati, maka ummat tidak akan mampu menghubungkan dunia dan akhirat, agama dan kehidupan, fizikal dan spiritual. Mereka tidak mampu mengertikan hakikat yang dunia ini adalah ladang tanaman untuk mereka tuaikan hasilnya di akhirat nanti. Tanpa dakwah dan tarbiyyah, mustahil bagi mereka untuk menghidupkan ruh Tuhan dalam diri mereka.

"Dan kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan ke dalam tubuhnya roh-Nya, dan dia menciptakan bagi kamu pendengaran, penglihatan, dan hati. Tetapi sedikit sekali kamu bersyukur."
(as-Sajdah: 9)

Akibatnya, manusia tidak mampu melihat Tuhan dalam kehidupan mereka, secara holistic. Tuhan hanya muncul dalam amalan-amalan ritual dan tempat-tempat ibadat. Natijahnya, mereka sampai hati ingkar kepada Tuhan walaupun berada beberapa inci daripada tempat-tempat ibadat yang dimuliakan.


Dakwah mati akibat FANATICISM


Persoalannya ialah kenapa dakwah dan tarbiyyah mati. Hujah yang akan saya bentangkan adalah berdasarkan pengalaman yang sedikit bersama-sama sahabat dalam kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah. Kalau baik, silalah terima. Kalau salah minta dibetulkan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya melihat transasi fokus dakwah daripada "
dakwah ilAllah" kepada "dakwah ilal Jama'ah" (dakwah kepada Allah kepada dakwah kepada gerakan atau harakah). Apabila pola fokus dakwah ini berubah, intipati tarbiyyah pun akan ikut sama berubah. Pengasasan individu dimulakan dengan penghujahan kekuatan jemaah masing-masing, bukan penghujahan keagungan Tuhan dan keunggulan Islam. Jiwa-jiwa para pengikut diisi dengan ilmu-ilmu teknikal dakwah dan organisasi, bukan dengan asas-asas Islam.

"Syok sendiri"


Lahir daripada proses pembinaan ini golongan-golongan yang mendakwa mereka da'ie (pendakwah); walhal mereka bukanlah melainkan golongan yang syok sendiri, bersikap superior terhadap orang-orang di luar jemaah, menjadi fitnah kepada agama. Mereka menyiksa jiwa mereka dengan menghadkan pintu-pintu kebaikan; bahkan mereka sangat teruja dengan jurang-jurang perbezaan agar mereka dapat bertingkah silat menjuarakan pandangan mereka.


Bagaimana Tuhan membina agama ini?

Kaedah dakwah yang sebenar harus disandarkan kepada wahyu tentang kaedah Allah S.W.T. membina Islam. Allah S.W.T. membina agama ini dengan hujah dan bukti. Sila periksa al-Baqarah: 21-24, dan al-Baqarah: 30-34. Inilah sebab mengapa agama ini sangat kukuh dan layak berada di tempat yang tertinggi. Apakah hujah dan bukti yang Allah utarakan dalam setiap suruhan mengabdikan-Nya? Kemukjizatan al-Quran, kejadian insan, kejadian alam, keindahan warna, dan banyak lagi; itulah hujah Tuhan kepada kita. Sebagai orang yang mendakwa dirinya seorang da'ie yang membawa agama Allah S.W.T., selayaknya kita berhujah dengan hujah yang Dia bekalkan kepada kita. Kita tiada hak untuk "menjual" agama ini berhujahkan dengan kelebihan-kelebihan jema'ah kita kerana agama ini hak Allah S.W.T., bukannya hak kita.

Mari sama-sama kita insaf dan kembali kepada model pengasasan agama yang ditunjuk oleh ar-Rasul S.A.W. supaya dakwah ini mencapai tujuannya, bukan menambahkan fitnah kepada agama.

wAllahu 'alam

Wednesday, September 2, 2009

Kita harus...

Pada Ramadhan orang Mukmin harus teliti,
supaya terperlihara hati dan rohani,

Mereka harus banyak menyendiri,
supaya Tuhan selalu dekat di hati,

Mereka harus selalu menela'ah al-Quran,
supaya menjadi syafa'at di hari Pembalasan,

Pada Tuhan, orang Mukmin harus terus mengharap,
supaya terhapus segala dosa dan silap,

Orang-orang Mukmin, mereka dan kita, harus terus-terusan beriman,
supaya tercapai Taqwa anugerah Tuhan,
sebelum menyambut Hari Lebaran.


wAllahu 'alam