Better to write for yourself and have no public, than to write for the public and have no self. -Cyril Connolly (1903-1974)
Sunday, March 21, 2010
Kenapa ayah pilih ummi?
11 Mac 2025
Sebuah keluarga sedang menikmati makan malam di sebuah restoran seafood. Ada seorang ayah, seorang ummi, dan 3 orang cahaya mata. Kakak yang paling tua berumur 12 tahun. Dikuti abang yang berusia 10 tahun, dan adik lelaki yang paling muda berusia 7 tahun. Mereka nampak bahagia. Saya juga merasa bahagia melihat mereka. Kakak duduk di sebelah ayah. Ummi sibuk melayan dua anak yang lain. Senyum dan gelak tawa tak putus-putus, tapi tak keterlaluan.
Bila ayah dan ummi bernikah?
Ayah, ummi, dan kakak nampaknya sudah selesai makan. Cuma dua orang cahaya mata lelaki masih berselera menghirup sup tomyam.
"Siapa tahu hari ni hari apa?", ayah membuka cerita baru. "Hari Jumaat la ayah, ape la ayah ni", kakak menjawab.
"Oh, maaf Khadijah. Salah soalan. Maksud ayah, siapa tahu tarikh hari ni?", ayah mencuba sekali lagi. Kakak menjawab lagi, "Sebelas haribulan tiga!". Dua jaguh comel masih lagi seronok dengan sup tomyam mereka.
"Siapa antara anak-anak ayah yang tahu bila ayah menikahi ummi?", soalan ayah makin menarik. Kakak menggaru-garu kepala, terfikir-fikir. Dua jaguh comel tadi terus berhenti menghirup sup mereka. Terpinga-pinga nampaknya.
"Bila ayah?", teriak si abang teruja. "Hari ni la, 11 haribulan Mac. Tapi tahun 2011", jawab ayah ringkas.
Kenapa ayah pilih ummi?
"Oh, baru kakak tahu. Tapi kan ayah, kakak ada satu soalan."
"Apa soalan tu Khadijah?", tanya ayah tenang.
"Kenapa ayah pilih untuk menikahi ummi? Kenapa bukan mana-mana perempuan lain?", kakak bertanya. Ummi hanya tersenyum.
"Sebab ummi cantik!", jawab adik yang kecil. Ketawa pecah seketika. "Haha, betul, tapi kurang tepat la Nuh," ayah membalas.
"Haa Muhammad, kamu tahu tahu kenapa ayah pilih ummi?", ayah menduga si abang.
"Ermm, sebab ummi baik," abang meneka. "Betul, tapi kurang tepat juga," balas ayah.
"Cepat la jawab ayah," kakak mendesak.
"Ayah pilih ummi, sebab ummi sayangkan Allah lebih daripada yang lain, termasuk kita semua."
Berkerut kening ketiga-tiga cahaya mata mendengar jawapan ayah mereka.
"Mana boleh macam tu ayah. Ummi kena sayangkan kami semua," abang membalas dengan nada tidak puas hati.
"Muhammad, kalau ummi sayangkan ayah lebih daripada dia sayangkan Allah, ummi akan rosakkan ayah. Begitu juga dengan anak-anak ummi yang lain. Kalau ummi sayangkan kamu semua lebih daripada dia sayangkan Allah, ummi akan rosakkan kamu semua," ayah cuba menerangkan.
"Kakak tak faham."
"Begini Khadijah. Kamu masih ingat lagi minggu lepas sewaktu kamu baru pulang daripada mukhayyam sekolah? Petang tu kamu sangat penat dan terus tertidur sampai je kat rumah," ayah memulakan bicara.
"Ingat, ingat!"
"Kemudian, lebih kurang pukul 6, ummi datang kejutkan kakak daripada tidur. Untuk solat asar. Kakak berat untuk bangkit. Tapi ummi tak putus asa. Ummi pimpin tangan kakak ke bilik air untuk berwudhu'," sambung ayah.
Kerut di dahi si kakak mulai reda.
"Ummi tak biarkan kakak terus tidur, walaupun kakak sangat penat. Ayah tahu berat hati ummi untuk mengejutkan kakak daripada tidur. Tapi ummi utamakan perintah Allah iaitu solat asar, lebih daripada sayang dia pada kakak sebagai anaknya. Cinta ummi pada Allah dah selamatkan kakak daripada azab Allah ke atas orang yang meninggalkan solat," terang ayah dengan penuh yakin.
"Kamu pula Muhammad, masih ingat lagi semasa kamu berkelahi dengan anak jiran sebelah? Kemudian ummi merotan kamu sebagai hukuman," ayah masih terus cuba menerangkan. Giliran abang pula menjadi bahan contoh.
Si abang tunduk mengiyakan. Sakit dirotan mungkin masih terasa.
"Ummi menghukum kamu sebab kamu yang mulakan perkelahian. Kamu telah ambil barang kepunyaan orang tanpa izin. Kamu telah buat sesuatu yang Allah tidak suka."
"Kalau ummi cintakan kamu lebih daripada dia cintakan Allah, nescaya dia akan marahkan anak jiran kita kerana berkelahi dengan anaknya. Dan kamu tidak akan belajar yang mana betul dan yang mana salah," ayah menyudahi kata-kata.
Si abang menoleh ke arah ummi-nya lantas merangkul erat si ummi. "Terima kasih ummi," bisik si abang comel. Kakak dan adik kecil turut sama berterima kasih kepada ummi mereka. Ummi mereka yang kenal dan cinta pada Allah, punca segala cinta.
wAllahu 'alam
Subscribe to:
Posts (Atom)