Bagi seorang Muslim, ibadah itulah hidup, dan hidupnya itulah ibadah. Menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadah bukanlah satu topik yang rumit untuk dibicarakan. Banyak orang boleh berhujah, mengutarakan dalil-dalil naqli yang berjela untuk topik ini. Rata-rata mereka yang berlatar belakangkan pendidikan sekolah agama pasti boleh mengupas topik ini dengan baik. Tapi sayangnya, sangat sedikit orang yang mampu membuktikan dengan amalan dalam kehidupan. Kerana, perkara ini perlu kepada asas iman yang jitu. Bahkan ia akan berlaku secara tidak langsung sebagai manifestasi daripada asas iman yang kuat tadi.
Saya ingin menjadikan tulisan saya tentang ibadah dan kehidupan sebagai satu dorongan untuk diri saya untuk meng'ibadah'kan hidup saya. Kerana saya yakin dan percaya bahawa semua tulisan saya ini akan dipersoalkan di akhirat nanti. Ada mafhum daripada hadith ar-Rasul S.A.W. yang mengatakan bahawa "seorang anak Adam itu tidak akan berganjak walau selangkah di Padang Mahsyar nanti melainkan setelah dia disoal tentang empat perkara". Salah satu perkara yang akan dipersoalkan di tempat perhimpunan Akhirat itu nanti adalah ilmu yang kita ada dan bagaimana ia diamalkan. Tulisan-tulisan ini adalah terjemahan ilmu-ilmu yang saya pelajari. Pengamalannya pula adalah tanggungjawab saya dan Allah S.W.T. pasti akan menilai dan membalas seadilnya.
Kita mulakan usaha kita untuk menjadikan semua aspek kehidupan kita sebagai ibadah dengan menetapkan persepsi yang betul tentang ibadah itu sendiri. Setiap kali kita mahu membentuk persepsi, al-Quran atau hadith nabawi mesti dijadikan sandaran. Kita perhatikan ayat 56 daripada surah az-Dzariyat: "Dan Aku (Allah S.W.T.) tidak menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadat (pada-Ku)." Allah Yang Maha Agung telah memberikan kehidupan kepada setiap orang daripada kita untuk satu tujuan yang sangat jelas; iaitu untuk beribadat kepada-Nya.
Kita sudah jelas tentang tujuan dan makna ayat 56 daripada surah az-Dzariyat yang saya nyatakan di atas. Sekarang mari kita lihat persepsi tentang ibadah yang paling popular di kalangan masyarakat kita; ibadah ialah solat dan rukun-rukun Islam yang lain; sesuatu perbuatan itu dianggap ibadah apabila ia melibatkan kopiah, serban, jubah, dan butir-butir tasbih. Kalau kita berpegang kepada persepsi yang saya sebutkan di atas, makanya, tersangat susahlah bagi kita untuk mentaati perintah Allah dalam ayat 56, surah az-Dzariyat. Perintah solat dan rukun-rukun Islam yang lain adalah perintah yang berkala, berdasarkan waktu-waktu yang ditentukan. Kita tidak boleh melakukan solat setiap jam kerana solat hanya lima waktu sehari semalam. Kita tidak boleh berpuasa sepanjang tahun kerana haram untuk kita berpuasa pada dua hari raya dan hari tasyrik. Kita tidak boleh berzakat setiap hari kerana zakat ada tempoh haul sebagai syarat sahnya. Mustahil juga untuk kita berkopiah dan berjubah sepanjang masa.
Jadi, apakah persepsi yang membolehkan kita memenuhi maksud kehidupan kita sebagai hamba Allah S.W.T. dengan sempurna? Saya ingin berkongsi satu pelajaran yang saya belajar daripada seorang guru sewaktu di sekolah menengah. Pelajaran ini saya terima sewaktu saya berada di tingkatan empat dalam kelas Hadith yang dikendalikan oleh Ustazah Suhana (semoga Allah membalas jasanya dengan pahala yang berganda-ganda). Saya diberikan tugas untuk membentangkan syarah hadith pertama daripada kitab Hadith 40, karangan Imam an-Nawawi. Perbincangan bermula dengan fungsi niat dan kaitannya dengan ibadah. Niat itu permulaan ibadah. Dan sesuatu perbuatan, percakapan, atau lintasan hati dan fikiran dinilai sebagai ibadah apabila ianya diniatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. dan tidak melanggarkan apa-apa batasan yang digariskan dalam Islam.
Kalau kita berpegang kepada definisi ibadah yang baru saya utarakan ini, maka kerja-kerja pejabat pun boleh jadi ibadah. Untuk pelajar-pelajar, pergi ke sekolah atau menghadiri kuliah pun boleh dikira ibadah. Begitu juga memujuk isteri dan anak-anak yang merajuk, keluar makan bersama teman-teman, dan segala aktiviti kehidupan seharian kita boleh dinilai sebagai ibadah dan diberi pahala oleh Allah S.W.T.
Apa yang lebih penting ialah bagaimana sikap kita boleh berubah dengan persepsi ibadah yang tepat dan berlandaskan syarak. Mari kita lihat beberapa contoh sebagai pedoman. Disebabkan saya masih menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa, contoh yang pertama yang ingin saya ceritakan berkisarkan kehidupan seorang pelajar universiti. Pelajar universiti biasa mendapat tugasan atau 'assignment'. Tetapi pelajar universiti tak biasa melihat 'assignment' sebagai peluang untuk beribadah. Seorang mahasiswa yang melihat 'assignment' sebagai satu ibadah akan selalu menghasilkan 'assignment' yang bergred A. Beliau akan memberikan sepenuh pemikiran dan intelektualiti dalam hasil kerjanya. Setiap perkataan yang digunakan mempunyai alasan yang munasabah. Kesalahan tatabahasa kalau ada pun, sangat minimal. Hasil kerjanya dipersembahkan dengan cara yang terbaik. Masalah plagiarism pula satu kemungkinan yang sangat jauh.
Contoh yang kedua mungkin lebih umum. Mari kita pula lihat bagaimana orang beribadah dengan ber-'shopping'. Mereka yang beribadah dengan ber-'shopping', perbelanjaannya tidak membazir. Beli hanya apa yang perlu, bukan untuk bermewah-mewah, walaupun hartanya melimpah ruah. Waktu membeli-belah tidak mengganggu waktu solat berjemaah. Pandangannya pula terjaga daripada melihat aurat-aurat yang menyesatkan.
"Bila hidup itu ibadah, ibadah itu hidup."
wAllahu 'alam