"Kalau aku nak cakap belakang pasal dia, boleh
je...."
Sombong betul kita kalau tergamak lidah kita bercakap macam tu. Siapalah kita nak cakap buruk pasal orang lain, walaupun orang lain tengah sibuk mengumpat kita. Apa yang kita ada? Lidah dan kotak suara yang kita guna setiap hari untuk berkata-kata pun bukan hak kita secara hakikatnya.
Tak siapa bantah tentang dosa perbuatan mengumpat. Orang yang mengumpat kena berhenti mengumpat. Cepat-cepat bertaubat. Pohon maaf pada yang diumpat. Kena bersihkan nama yang diumpat daripada fitnah-fitnah atau tuduhan yang tidak benar.
Orang yang kena umpat pula, kena belajar sedar diri. Kadang-kadang apa yang orang umpat tentang kita tu memang betul. Kita kena ingat, pokok kalau tak ada angin bertiup, tak bergoyang. Bila berada dalam konflik macam ini, jangan cepat sombong. Jangan cepat sangat cakap, "Apela salah aku...". Sebab memang banyak salah kita. Kita yang narcissistic; kita selalu rasa diri kita bagus. Senang-senang syaitan tutup mata hati kita bila kita pandang imej diri kita dalam cermin. Yang kita nampak hanya susuk fizikal yang lengkap sempurna. Kotor-kotor dalam hati kita tak perasan.
Selingan: Dalam mitos Greek, Narcissus adalah seorang pemburu yang sangat cantik rupa parasnya. Oleh kerana ketaksuban terhadap kehebatan rupa parasnya sendiri, Narcissus memandang hina kepada mana-mana wanita yang jatuh hati padanya. Dia merasakan tiada seorang wanita pun yang cukup cantik dan layak menjadi teman hidupnya. Narcissus akhirnya jatuh cinta pada refleksi imej dirinya sendiri di sebuah tasik. Dia terus terpaku di situ dan akhirnya mati di situ kerana tidak mampu meninggalkan cintanya: refleksi imej dirinya sendiri.
Aku perlu istighfar. Aku kena bertaubat. Sebab aku yakin acapkali aku terlepas kata-kata takbur macam tu bila tengah marah.
--
Malam ini aku datang,
aku cari jalan pulang,
jangan Kau tolak hadirku,
jangan Kau paling hatiku.
Dalam dua rakaat yang ringkas,
aku tagih ihsan dan belas,
aku pohon taqwa dan ikhlas,
aku harap do'aku berbalas.
Beseri, 13.02.11
wAllahu 'alam