Sunday, March 27, 2011

Gua sedih

Gua sedih.

Bila gua dah mula bahasakan diri gua "gua" dan pembaca gua "lu", maknanya gua akan merungut tentang sesuatu yang gua rasa tersangatlah "annoying".

Pagi tadi gua berbual santai dengan sepupu gua. Nama dia Muhammad. Umur dia 8 tahun. Semalam gua solat Asar berjemaah dengan dia. Gua jadi imam. Dia tegur gua; dia cakap gua sujud sekejap sangat. Dia pun peringat kat gua. Kata dia, "Kita kalau solat, jangan main baca je do'a tahiyyat, tasbih, masa kita solat." Gua pun kasik respon, "Betul, betul."

"Kita ni selalu solat, bacaan semua cukup, lengkap. Tapi fikiran selalu ke tempat lain. Ingat TV, kawan, homework, macam-macam lagi la", Muhammad sambung tazkirah dia.

Gua cakap, "Abang pun ada masalah camtu. Susah betul nak khusyuk dalam solat."

"Memang susah. Tapi kita kena cuba jugak. Usaha banyak-banyak", sepupu gua yang kenit ni, tapi cerdik sambung lagi.

Gua tanya dia, "Kenapa Mat (nama manja dia) nak sangat khusyuk dalam solat?"

"Mat nak dapat Haqqul Yaqin!", pantas Muhammad menjawab.

"Apa tu Haqqul Yaqin?", gua tanya mintak penjelasan.

"Bila kita capai Haqqul Yaqin, kita takkan boleh nak lupa pada Allah. Mat tak nak lupa pada Allah. Jadi, Mat kena khusyuk semasa solat. Baru Mat boleh dapat Haqqul Yaqin", padat penjelasan sepupu gua ni.




Gua seronok bila tengok anak-anak kecil mampu menghayati iman macam Muhammad ni. Muhammad bercita-cita nak menuju Haqqul Yaqin. Tapi gua sedih. Gua teramat sedih bila member-member gua yang dah lebih 10 tahun baligh, bercita-cita nak jadi hero dalam cerita cinta masing-masing.

Muhammad tu berapa umur dia? 8 tahun la brader. Lu, umur dah lebih 18 tahun, bulu ketiak pun dah panjang mencecah ke pinggang, tak reti-reti nak menghayati makna iman. Lu patut malu. Muhammad ni lebih layak nikah dengan awek yang lu tatang macam minyak yang penuh. Muhammad ni jauh lebih matang daripada lu. Muhammad ni lagi dekat dengan Allah daripada lu.

Lu patut malu.

Lu, makna Haqqul Yaqin pun tak tahu. Bila tak tahu, tak nak belajar. Bodoh. Sombong pulak. Bodoh sombong. Tapi mungkin lu bukan sombong. Gua nak berbaik sangka. Nak berharap. Gua fikir, lu tak tahu pun apa yang lu tak tahu. Jadi lu pun tak tahu apa yang lu patut belajar.

Gua ni marah-marah, tulis perkara-perkara macam ni, kena beringat jugak.

Ya Allah,
Aku ingin berdo'a, sekarang.
Tolong dengar luah kata hatiku.

Aku ingin mahukan hanya Engkau,
aku ingin cintakan hanya Engkau,
aku ingin berkorban untuk Engkat,
aku ingin hidup dan mati untuk Engkau.

Pimpin tanganku wahai ar-Rahman,
pandanglah aku dalam solatku,
pandulah aku dalam langkahku,
peliharalah aku pada perkataanku,
tetapkan aku atas jalan Nabi-Mu,
lindungiku daripada jilatan api neraka-Mu.

Ameen, ya Rabb.

Gua masih sedih.

wAllahu 'alam.

Wednesday, March 23, 2011

Harga. Siapa yang letak?

Apa yang kita buat,
hanya boleh dihargai,
bila ia jelas,
boleh dinampak,
boleh dilihat.

Manusia tak selalu nampak kita,
Jadi, manusia tak mampu hargai semua yang kita usaha,
Allah pula selalu nampak kita,
Jadi, Dia tak akan pernah mensia-siakan usaha kita.

Oh Allah,
ampunkan aku,
selalu saja aku gantikan,
berkat dan redha-Mu,
dengan puji dan keji manusia,
manusia yang fana',
Allahummaghfirli....

wAllahu 'alam

Wednesday, March 9, 2011

Kita buat Quran sekadar penyeri majlis

Saya tak ragu-ragu nak cakap yang ummat kita sekarang dhaif, lemah. Sebab tiap-tiap hari saya boleh nampak bagaimana ummat ini membaca al-Quranul Karim hanya untuk tujuan-tujuan yang bukan asas. Contohnya, bacaan untuk membuka dan memberkati majlis, bacaan untuk si mati, bacaan ketika kenduri kesyukuran sempena menyambut hari lahir atau hari ulang tahun perkahwinan, dan sebagainya.

Bila ummat Islam sudah mula nampak al-Quran daripada persepsi yang sempit, seperti yang saya ceritakan kat atas, maknanya ummat Islam sedang terkapai-kapai, tak ada arah tujuan. Allah yang Maha Kaya turunkan al-Quran kepada kita untuk dibuat panduan; rujukan dalam segala perkara yang bersangkut-paut dengan hidup dan mati. Sahabat-sahabat Nabi S.A.W. sangat berdisiplin dalam menghayati al-Quran. Mereka akan belajar hanya 10 ayat dan berusaha, bermujahadah untuk mengamalkan ayat-ayat tersebut sehingga ayat-ayat itu meresap ke dalam darah daging mereka. Tujuan ayat-ayat itu pun menjadi tabiat hidup mereka. Hanya setelah itu mereka berganjak untuk mempelajari 10 ayat yang lain.

Lagi menyedihkan, ada pula segolongan manusia daripada ummat ini yang sibuk mempelajari al-Quran untuk tujuan berhujah dan memenangkan kelompok masing-masing. Intipati al-Quran ditelaah untuk menjadi pedang dan perisai ketika bertarung dalam debat-debat yang mungkin tak akan membuahkan amal soleh. Lebih mungkin, debat-debat ini akan menambah dosa, benci dan hasad.

Ummat Islam di zaman ar-Rasul S.A.W. dulu sedikit bilangannya. Tak kaya harta materialnya. Tapi hidup jiwanya dengan ruh al-Quran. Sebab itu mereka kuat. Sebab itu Allah sayang pada mereka. Musuh pula gementar bila berhadapan dengan mereka.

Al-Quran ini seharusnya bila dibaca, bergetarlah jiwa kerana takutnya kepada Allah. Atau tenanglah jiwa kerana yakin dengan rahmat Allah. Atau bersemangatnya jiwa kerana harapnya pada syurga Allah. Begitulah yang sepatutnya.

"Kalaulah Kami turunkan al-Quran ini untuk sebuah gunung, pasti kamu akan melihat gunung itu tunduk sehingga hancur terbelah sebab takutnya ia kepada Allah. Perumpamaan-perumpamaan ini kami lukiskan buat manusia supaya mereka berfikir." (al-Hasyr: 21)

wAllahu 'alam