Friday, October 17, 2008

Lapar

Krisis makanan dunia telah melanda lebih dari setahun yang lalu. Ekonomi dua kuasa dunia, Amerika Syarikat dan Eropah sudah nyawa-nyawa ikan. Ribuan bank-bank mereka jatuh muflis. Hutang negara AS sudah menjangkau angka trillion. Ramai penganalis ekonomi menjangkakan "Recession of 1937" akan berulang dalam sejarah ekonomi dunia. Tanda-tanda kepincangan sistem kapitalis semakin menampakkan dirinya.

Saat-saat ini, kelaparan semakin menjadi norma di merata-rata tempat di seluruh dunia. Tetapi untuk orang yang berjuang, rasa lapar itu bukanlah perkara asing. Bagi kebanyakan orang, krisis makanan dunia bermakna sumber makanan sudah tidak mampu mengenyangkan seluruh penghuni dunia. Maka, sebahagian besar penghuninya terpaksa berlapar. Sebahagian menderita kebuluran. Sebahagian mati.


Tetapi bagi para pejuang yang mulia, mereka lebih melihat krisis makanan ini dari sudut sebab dan akibat; bukan terpaku pada sudut situasi yang selalunya melarikan fokus penyelesaian. Apabila hukum Tuhan tidak dipatuhi, krisis melanda. Sistem ekonomi yang bukan berasaskan wahyu menyebabkan ketidakadilan dalam menikmati rezeki. Akhirnya sebahagian mewah yang melampau, sebahagian lagi menderita bersabung nyawa untuk sesuap makanan.


Apa yang saya bicarakan di atas adalah fenomena kebuluran. Ia berbeda dengan kelaparan. Berada dalam keadaan lapar bukanlah sesuatu yang hina. Bahkan Nabi S.A.W. yang mulia menjalani hidup baginda dengan melazimi rasa lapar. Apa yang ada pada lapar yang menyebabkan ar-Rasul S.A.W. yang diberkati memilihi untuk "mendampingi" rasa itu sepanjang hayat baginda? Pada hemat saya, di dalam lapar itu terkandung sifat-sifat mulia: sabar, waspada, syukur dan rendah diri.

Lapar dan sabar barangkali satu perkaitan yang tidak asing lagi. Kerana pada keduanya ada konsep menahan diri. Lapar itu adalah sabar (menahan diri) daripada kenyang. Kebiasaan berlapar mampu membina ketahanan jiwa daripada segala macam cubaan. Kekuatan ketahanan ini amat penting untuk jiwa sentiasa berada dalam keadaan harmoni. Orang yang tabah jiwa mampu menahan daripada marah, dengki, syahwat, perasaan malas, kecintaan terhadap hiburan, dan bermacam lagi godaan. Lihatlah betapa perkasanya jiwa orang yang perutnya biasa kosong.


Orang yang lapar selalu lebih berwaspada berbanding orang yang kenyang. Biasa kita dengar orang bercakap begini selepas puas memenuhkan perut mereka dengan hidangan yang enak-enak, "Ish, kalo dapat bantal sekarang
ni, best" atau "kalo aku baring ni, memang tak bangun sampai esok".

Daripada sudut sains, apabila perut kita kenyang, sistem saraf
parasympathetic kita akan diaktifkan dan pengaktifan sistem saraf ini menjuruskan badan kita untuk relaks. Kesannya, kita seringkali "mahukan bantal dan selimut" setiap kali perut kita senak oleh penuhnya makanan. Berlainan dengan orang yang perutnya kosong, sistem saraf parasympathetic tidak lagi aktif. Oleh yang demikian, sistem saraf sympathetic mempunyai ruang yang luas untuk aktif. Sistem saraf sympathetic yang akan meningkatkan aktiviti metabolism sel-sel. Maka badan kita lebih bersedia dan berwaspada. Dalam banyak kajian, mutasi gen yang menyebabkan rendahnya aktiviti sistem saraf sympathetic merupakan salah satu faktor kepada obesiti.

Orang yang selalu merasakan lapar dalam banyak keadaan sering memikirkan nasib golongan miskin dan fakir. Saudara-saudara
in humanity ini mungkin hanya melihat makanan selang beberapa hari selepas satu hidangan. Adakala mereka terpaksa menggadai nyawa untuk sesuap rezeki seperti yang terjadi di beberapa daerah di Indonesia di mana-mana ratusan penerima zakat mati akibat berebut makanan yang berharga kurang dari RM 10. Mereka yang sering memikirkan kesusahan dan penderitaan orang lain akan lebih menghargai dan mensyukuri nikmat yang dipinjamkan. Mensyukuri nikmat-nikmat ini hanya akan menyuburkan rasa kehambaan dalam diri, membunuh sifat keakuan, dan memadamkan api keangkuhan.

Betapa hebatnya rasa lapar yang Allah jadikan untuk hamba-hamba-Nya hayati di dunia ini. Kerana, apabila Dia telah meletakkan mereka di dalam syurga-Nya, tiada lagi peluang untuk mereka merasakan perasaan itu lagi.

wAllahu 'alam
(*Penulis ingin mengajak para pembaca yang budiman untuk meneliti pandangan Imam al-Ghazali tentang pemurnian rohani dengan melazimkan berlapar. Mungkin kita dapat kongsikan dalam chat box atau boleh emelkan sumber-sumber yang berkenaan kepada penulis.)

No comments: