Sunday, May 10, 2009

Kepimpinan Ulama'

Tidak lama lagi Muktamar PAS peringkat nasional akan berlangsung buat kali yang ke-55. Media mainstream pun tidak leka daripada mengambil peluang untuk membuat liputan tentang perkembangan menjelang pemilihan barisan kepimpinan baru parti yang bertemakan "kepimpinan ulama'". Bukan seperti Perhimpunan Agung UMNO, media harus bekerja keras untuk mewujudkan tension perebutan kuasa untuk mencemarkan imej parti Islam tersebut.

Tidak mengejutkan bahawa isu ulama' vs. profesional menjadi pilihan. Pilihan yang berkesan, pada pendapat saya. Mereka dapat mencucuk sentimen agar tercetusnya fraction dalam parti daripada kalangan ahli parti dan sekaligus menimbulkan persoalan tentang kemunasabahan kepimpinan ulama. Saya tidak mahir tentang realiti dalam PAS. Tidak tahu jika benar wujud fraction yang disebut-sebut. Jadi, saya tidak harus menghurai tentang itu. Jika benar ada fraction, haruslah diurus dengan teliti supaya perbezaan yang berlaku hanya mengarah kepada persaingan yang sihat. Persaingan yang menjana hikmah dan bijaksana di kalangan ahli-ahli dalam parti.

Mari kita tumpukan perhatian kepada persoalan
validity kepimpina ulama'. Isu ini mudah untuk dijawab. Hanya perlu logika yang sihat dan disandarkan pada dalil syariat. Perhatikan hadis di bawah.

"
Siapa saja yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, Allah memperjalankannya di atas salah satu jalan surga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap mereka karena ridha kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya seorang alim itu dimintakan ampunan oleh makhluk yang ada di langit dan di bumi hingga ikan yang ada di dasar lautan. Sesungguhnya keutamaan seorang alim atas seorang abid (ahli ibadah) seperti keutamaan bulan purnama atas seluruh bintang-bintang. Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, melainkan mewariskan ilmu. Karena itu, siapa saja yang mengambilnya, ia telah mengambil bagian yang besar." (Hadis riwayat Abu Dawud, at-Tarmidzi, al-Baihaqi, dan ibn Hibban)

Ar-Rasul S.A.W. telah menetapkan bahawa golongan ulama' yang akan mewarisi kerja-kerja baginda, mewarisi perjuangan agama yang tidak akan padam sehingga sangkakala pertama ditiupkan sang Israfil. Apakah kerja-kerja Nabi? Adakah Nabi hanya mengajarkan agama, tetapi tidak memimpin ummat? Adakah Nabi tidak mengetuai angkatan perang? Adakah Nabi tidak menurunkan tandatangan bagi perjanjian-perjanjian negara Islam dengan kumpulan-kumpulan lain? Soalan-soalan ini sudah cukup untuk menjawab persoalan validity kepimpinan ulama' pada masa ini. (Pendapat saya ini saya sandarkan kepada pandangan seorang muhaddith,
al-Hafizh Ibn Hajar; beliau menafsirkan keratan hadith dalam bold bahwa orang yang mewarisi menempati kedudukan yang diwarisi berserta hukum pada posisi yang ia gantikan.)

Perhatikan pula potongan ayat al-Quran di bawah.

"Sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di kalangan hamba-hamba-Nya; dan kesudahan yang baik adalah bagi mereka yang bertaqwa." (al-A'raf: 128)

Hakikat yang harus difahami bahawa bumi ini adalah kepunyaan Allah S.W.T.. Dan Dia akan mewariskan atau mewakilkan pentadbiran bumi ini kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di kalangan manusia. Satu lagi hakikat yang perlu dihayati ialah bahawa manusia seluruhnya hanyalah hamba kepada Allah S.W.T..

Oleh yang demikian, adakah kita yang hanya merupakan hamba kepada Pemilik bumi ini berhak untuk mentadbir bumi yang kita tiada sedikit hak pun ke atasnya, sewenang-wenangnya mengikut selera kita? Selayaknya tanggungjawab khilafah yang diberikan oleh Pemilik bumi ini dilaksanakan mengikut panduan wahyu daripada kalam Tuhan yang Maha Suci.

Seterusnya mari kita persoalkan, siapakah di kalangan kita yang paling layak mewarisi khilafah bumi ini? Bukankah mereka yang paling arif tentang makna kalam Tuhan adalah yang paling layak untuk diwariskan kepada mereka kepimpinan dunia, lantaran merekalah yang paling memahami kehendak Tuhan ke atas bumi ini?

Sebagai nota akhir, saya kurang bersetuju dengan usaha-usaha yang ingin melukis satu garisan yang betul-betul jelas supaya mudah dilabel seseorang itu sebagai ulama'. Kerana, saya melihat usaha ini akan menyemai lagi budaya dichotomy dalam masyarakat negara ini. Walhal, yang kita perlukan hari ini adalah penyepaduan ilmu akhirat dan dunia dalam melahirkan kepimpinan.

Mulakan pendidikan anak-anak dengan mengenal siapa Tuhan mereka, sebab dan tujuan kelahiran mereka, ilmu al-Quran, bahasa Arab dan asas-asas halal dan haram dalam agama. Insha Allah, hati akan menjadi terang. Ilmu dunia yang akan menyusul pasti dapat dikuasai dengan hebat. Pelaksanaannya juga bertepatan dengan kehendak sebenar Rabb yang Maha Mencipta.

wAllahu 'alam

No comments: