Tindakan anggota tubuh manusia itu dipandu oleh hati nurani. Tetapi hubungan hati dan anggota hakikatnya adalah dua hala. Hati ini sangat terkesan oleh panca indera; apa yang dilihat, apa yang didengar, apa yang dikata dan apa yand dirasa. Dan hati seterusnya mengarah perbuatan anggota badan termasuk panca indera yang lima tadi atas kesan-kesan yang dirasakannya.
Makanan hati hanyalah cahaya. Cahaya adalah wahyu Tuhan yang Satu.
Kita perlu cepat sedar apabila hati kita tidak cukup makan. Tanda hati yang kebuluran adalah warnanya yang hitam. Hati jadi hitam kerana dosa. Dosa akibat angkara indera yang lima. Dosa membalut, menghalang cahaya daripada Tuhan yang Maha Memberi Petunjuk. Tinggallah hati dalam kegelapan. Hasilnya, sedikit demi sedikit daripada bahagian hati mati kelaparan. Akan-akan pathogenesis serangan jantung.
Hati yang mati tidak dapat memandu anggota tubuh. Anggota tubuh jadi tak tentu hala. Melakukan perkara-perkara yang merosakkan. Merosakkan persekitaran dan dirinya sendiri.
Hanya Tuhan, dan hanya Tuhan sahaja yang mampu mensucikan hati. Dengan kekuasaannya. Tapi kita harus kembali menyusuri jalan taubat. Mencukupkan syarat taubat yang tiga: meninggalkan perbuatan dosa, menyesali akan terjebaknya kita ke dalamnya, dan membenci untuk mengulangi perbuatan itu seperti bencinya kita dicampakkan ke dalam api neraka. Di hujung jalan ini, hati akan kembali segar dihidupkan Nur hidayah dan taufiq daripada sisi Allah ar-Rashid.
Semoga Allah S.W.T. menerima taubat kita.
wAllahu 'alam
1 comment:
putihkan.
Post a Comment