Thursday, June 18, 2009

Kepimpinan Ulama' II

Usaha untuk memecah-belahkan PAS dengan isu kepimpinan ulama' vs. kepimpinan professional tidak berjaya. Syukur dan puji-pujian kepada Allah S.W.T. kerana petunjuknya ahli-ahli PAS dapat menghidupkan slogan kepimpinan ulama' dengan baik, tanpa menidakkan peranan dan tanggungjawab golongan professional. Kedudukan dan ilmu para ulama' dijunjung, kepakaran dan jasa para professional disanjung. Moga Allah terus memberikan cahaya petunjuk.

Sekarang mereka cuba menyerang dari arah yang berbeza. Lebih merbahaya nampak gayanya. Mereka cuba mempolemikkan isu kerajaan perpaduan. Majoriti dalam PAS menolak idea ini. Idea ini datang daripada pemikiran Presiden PAS, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. Akhbar-akhbar mainstream cuba memaparkan bahawa kerajaan perpaduan ini hanyalah melibatkan PAS dan UMNO. Hakikatnya, gagasan Tuan Guru kita lebih besar, lebih gah.

Apabila Tuan Guru bercakap tentang unity government, Tuan Guru tidak sekadar melibatkan Umno dan PAS. Tuan Guru mencadangkan kerjsama politik secara "total" melibatkan semua pemain-pemain dalam gelanggang politik tanahair. Beliau mencadangkan sebuah kerajaan tanpa pembangkang yang menyatukan bukan sahaja orang-orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Ini kerana Tuan Guru mampu mendakap realiti politik semasa yang muram dan begitu mencemaskan. Maka, demi kepentingan rakyat dan negara, beliau mencadangkan agar semua pihak mengenepikan perbezaan dan meredakan perbalahan, duduk semeja di atas satu pentas dan melahirkan sebuah kerajaan perpaduan. Kerajaan yang bersatu di bawahnya seluruh parti demi rakyat dan negara.

Di dalam perbahasan beliau di Dewan Rakyat itu beliau menyebut:

"Pendekatan dalam mewujudkan perpaduan ini mestilah memenuhi segala ciri dan sifat fitrah naluri yang ada dalam diri manusia itu sendiri. Manusia bukan sahaja boleh disatukan sebagaimana menyatukan batu-bata dalam mendirikan bangunan, kayu yang mendirikan perabot tidak boleh disatukan begitu sahaja kerana manusia bukan sahaja jasad, mereka mempunyai hati perut dan perasaan. Dengan sebab itu pendekatan yang perlu diambil dalam mewujudkan perpaduan mestilah merangkumi segala aspek yang ada dalam naluri kejadian manusia itu sendiri."

Pandangan Tuan Guru ini sudah pun dibahaskan di peringkat tertinggi kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat. Mereka nampaknya rasa lebih selamat untuk teruskan perjuangan bersama Pakatan Rakyat. Tidak mengapa, Tuan Guru berlapang dada, menerima keputusan syura dengan yakin akan keberkatannya.

Tetapi malangnya, ada dua tiga "bedul" dalam PAS tidak dapat menerima keputusan yang dibuat secara jamaei dan mereka mula merencana plan secara senyap untuk menyatukan PAS dan UMNO. Mursyidul Am PAS sudah memberikan amaran, kalau masih mahu bersama dengan UMNO, keluar sahaja daripada PAS.

Pada pandangan saya, ada dalam rencana "bedul-bedul" ini yang mahukan lebih pangkat dan kuasa. Dalam Pakatan Rakyat, nampaknya pembahagian kuasa kurang memihak kepada PAS yang dilihat sebagai "parti tua". Daripada segi titik keringat, sungguh tak terbayar pengorbanan ahli-ahli PAS. Tetapi, bagi pendokong-pendokong PAS yang selesai tarbiyyahnya, mereka pasti faham bahawa perjuangan ini bukan bermatlamatkan kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Perjuangan ini bermatlamatkan hukum Tuhan berada di tempat yang teratas. Andai kata DAP sekalipun yang memegang majoriti tampuk pemerintahan negara, tetapi mereka bersetuju melaksanakan hukum Tuhan di bumi Malaysia ini, kita tidak akan menentang. Parti, kerusi Parlimen dan DUN, semua ini hanyalah wadah, bukanlah matlamat. Sangat harus berhati-hati akan belitan iblis dalam perjuangan politik yang sebegini.

wAllahu 'alam

2 comments:

Unknown said...

huhu.takut apabila mata dikaburi pangkat.

harith_fakhrudin said...

Kita perlu ada 'geng' yang bagus di keliling kita. Sebagai cermin refleksi dan peningkatan. Syaitan kadang2 licik. Kita tak perasan.