Wednesday, July 15, 2009

PPSMI: Jangan salah nilai


Sebelum berangkat ke Putrajaya malam Ahad yang lepas, sempat saya tonton perbincangan tentang PPSMI yang disiarkan secara langsung menerusi TV1. Tiga ahli panel dijemput - 1 wakil daripada Kementerian Pelajaran, 1 wakil GAPENA, dan seorang pakar bahasa. Tidak banyak percanggahan pendapat antara ahli panel jemputan. Masing-masing secara amnya bersetuju dengan pemansuhan PPSMI.

False reasoning


Yang menarik perhatian saya dan yang ingin saya kongsikan dalam penulisan kali ini ialah masalah
false reasoning yang terbit daripada perbincangan pada malam itu. Saya agak terkilan kerana kegagalan logika pemikiran itu diperlihatkan oleh seorang doktor pakar pediatrik. Doktor wanita yang juga mengajar pelajar perubatan secara sambilan itu dengan bangganya memulakan bicara dengan memperkenalkan title-nya sebagai seorang doktor pakar yang dilatih di luar negara.

Dia tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk menamatkan PPSMI.
Pakar pediatrik tersebut memulakan hujahnya dengan hadith ar-Rasul S.A.W. yang menyuruh supaya menuntut ilmu hatta ke negeri China. Dia cuba menafsirkan hadith tersebut, walaupun saya yakin dia tidak punyai asas Bahasa Arab yang kukuh, dengan menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. sendiri menggalakkan ummatnya untuk menuntut ilmu dalam bahasa asing.

Jahil sirah


Doktor ini jahil sirah rasanya. Kalau diimbas kembali, berapa ramai sahaja sahabat-sahabat nabi yang mulia yang mengembara ke negeri China. Tidak sampai ratus orang pun. Dan bagaimana transaksi ilmu berlaku antara Khilafah Islam dan negeri China? Ilmu dibawa pulang ke negeri masing-masing dan diajar dalam bahasa tempatan.


Perkara yang sama berlaku tatkala agama Islam yang tinggi datang dan didakwahkan di Tanah Melayu. Du'at dari Tanah Arab mengajarkan agama kepada beberapa orang tempatan yang akhirnya menjadi ulama' Tanah Melayu. Kemudiannya, ulama' ini menyampaikan ilmu Islam kepada rakyat jelata dalam bahasa tempatan. Mana-mana pakar bahasa tidak mungkin menidakkan kenyataan bahawa sesuatu penyampaian dan pemahaman sesuatu ilmu itu hanya dapat mencapai tahap tertinggi apabila disampaikan dalam bahasa pertama sesuatu kaum itu.


Indahnya Islam

Begitulah keindahan Islam, dakwah datang dalam masyarakat tanpa meletakkan ancaman terhadap adat, budaya, dan bahasa tempatan. Orang Melayu boleh terus menjadi orang Melayu setelah menerima Islam. Begitu juga dengan masyarakat bangsa lain. Tidak perlu belajar untuk menjadi orang Arab. Kerana sesungguhnya yang mulia di sisi Tuhan bukan orang yang berbangsa itu atau ini, tetapi mereka yang tertinggi taqwanya.

Akhir kata, saya ingin kongsikan pandangan seorang sahabat saya tentang isu PPSMI ini. Dia bertanyakan kepada saya secara rhetorik mungkinkan ada sesuatu yang lebih besar daripada isu bahasa di sebalik pergolakan PPSMI? Mungkin isu kebejatan kepimpinan?

wAllahu 'alam

3 comments:

Unknown said...

bila mereka yang berlagak pandai bercakap tentang benda yang mereka kurang arif.

harith_fakhrudin said...

penyakit yang merbahaya, kesan daripada tak kenal siapa yang Maha Pencipta

pretty copper said...

lebih jahil lagi bila tak kenal hadith.hadith tu sah-sah palsu.imbang balas masyarakat hari ini dah tak stabil.isu kebejatan pemimpin memang dah tepu sangat dalam masyarakat ni.sebab tu masih ada lagi yang menyokong parti mereka walaupun terang-terang parti tu salah.ini memang bukan isu BAHASA sebenarnya,ianya masalah perangai dan tingakah.