Sunday, October 11, 2009

"Can't breathe without you" 2

Sambungan post yang lepas....

Saya berhasrat untuk memanjangkan bicara tentang bahagian "Awas akan syirik" dan "Iman sebagai penyelesai" daripada post yang lalu.

Cinta itu Allah punya

Mungkin apabila membaca tulisan saya yang lepas, minda kita tersekat kepada gambaran situasi ber-couple. Bahagian tentang bahaya syirik itu sebenarnya masih relevan walaupun kita sudah berumahtangga. Maksud saya, walaupun pasangan kita sudah bergelar suami / isteri, belum lagi layak bagi mereka untuk kita ucapkan kata-kata cinta yang keterlaluan. Tak kiralah seindah mana pekerti pasangan kita itu; setinggi gunung mana pun pengorbanan mereka.

Kerana, pasangan kita itu pun nikmat dari Tuhan. Perasaan kasih dan sayang antara kita pun anugerah daripada Tuhan ar-Rauf. "
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir." (ar-Rum: 21)

Kahwin dan matang

Orang selalu bercakap tentang perlunya kita menjadi matang sebelum berumahtangga. Saya belum lagi berumahtangga. Tetapi saya tidak ragu-ragu untuk berkata bahawa aqidah yang sejahtera pada jiwa si suami dan isteri adalah benteng yang paling teguh untuk memelihara istana bahagia rumahtangga.

Pada pandangan saya, kebolehan untuk memanifestasikan adil adalah bukti kematangan. Ulama' menterjemahkan maksud adil sebagai "meletakkan sesuatu di tempatnya." Maksudnya, proses menilai perlu berlaku sebelum seorang melaksanakan keadilan. Jadi, adanya neraca timbang yang betul amat kritikal untuk kita berlaku adil. Apakah neraca timbang yang paling tepat? Tentulah iman jawapannya. Dan iman akan sentiasa berkata: "Apa-apa yang mendekatkan dengan Allah, itulah yang betul. Apa-apa yang menjauhkan, itulah yang salah."

Maka, bagaimana mahu matang? Berimanlah dengan sebenar-benarnya dahulu. Kemudian belajar untuk berlaku adil dalam setiap keadaan.

Jaga iman untuk jaga perkahwinan

Sekali lagi, iman adalah kunci penyelesaian. Jaga iman untuk jaga perkahwinan. Tinggikan iman untuk mengecap kebahagian. Pelihara hubungan kita dengan si dia daripada kata-kata yang menduakan Tuhan. Barulah Tuhan beri berkat. Rumahtangga dan keluarga selamat. Dunia dan akhirat. Sila periksa al-Baqarah, ayat 125 sebagai bukti daripada Yang Maha Mengetahui.

wAllahu 'alam

2 comments:

Unknown said...

aa.maintainkan iman time da kahwin lagi susah ke senang?err.

adul said...

salam bro,ayat lu dah macam editor majalah INTREND la.haha.tapi tahniah la wa ucap sama lu. perkara aqidah memang tiada kompromi. syirik dan kufur itu boleh jadi samada sedar mahupun tidak. solusinya ialah memperbaharui kalimat sakti dan iman. berdasarkan pengamatan gua yang kurang upaya ni,gua rasa lu dah kena seru ni bro. buat sekali nak?jimat sket.haha.