Kalau kita memerhatikan perilaku gagak di atas daratan, kita akan dapat lihat sesuatu yang menarik tentang cara mereka berjalan. Mereka seolah-olah terinjut-injut seperti tidak mahu berada terlalu terlekat dengan tanah darat. Seolah-olah mereka ada mencium bau bahaya dan sentiasa bersedia untuk terbang melarikan diri.
Pembunuhan pertama
Ada sesetengah ulama' berjenaka tentang gelagat gagak ini. Bukan begitu cara jalan asal mereka. Ini semua berlaku setelah seekor gagak menyaksikan tragedi dua anak Nabi Adam a.s: pembunuhan pertama dalam sejarah kemanusiaan.
Mungkin gagak mula berasa bimbang untuk berpijak lama di bumi setelah melihat keganasan makhluk Tuhan yang bernama manusia. Mereka dikhabarkan bahawa manusia ini akan menjadi khalifah di muka bumi, mentadbir dan menyebarkan kebaikan dan rahmat Tuhan seluruh alam. Tetapi, Qabil menampilkan perkara yang sebaliknya. Saudara sendiri dibunuhnya. Hanya kerana turutkan nafsu syahwatnya.
Terjengket-jengket
"Kemudian Allah menghantar seekor burung gagak menggali tanah untuk diperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana seharusnya dia menguburkan mayat saudaranya. Qabil berkata,"Celakalah aku! Mengapa aku tidak mampu berfikir seperti burung gagak ini supaya aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini? Maka jadilah dia daripada golongan orang-orang yang menyesal." (al-Maidah: 31)
Mungkin semenjak detik hitam itu, gagak-gagak sentiasa mengajarkan keturunannya supaya jangan terlalu leka berpijak di bumi. Takut-takut kamu menjadi mangsa keganasan sang manusia yang tidak mungkin dijangka. Dapatlah kita lihat tabiat gagak yang berjalan terjengket-jengket di atas tanah.
Bumi tidak selamat
Dan hari ini kita melihat pembunuhan berlaku merentas segala batasan yang terlintas minda. Pertalian darah, bangsa, negara, dan agama tidak mampu menahan jenayah ini. Mungkin gagak tak patut turun ke bumi lagi. Mungkin semua burung-burung pun tidak harus turun ke bumi lagi.
Bumi ini sudah tidak selamat daripada tangan-tangan manusia. Manusia sudah punya senjata yang sangat-sangat merbahaya. Manusia sudah miskin iman. Mereka sudah hilang pedoman. Syaitan pula sekarang menjadi teman. Maka larilah keamanan, datanglah kekacauan.
Kayalah kita dengan iman. Jadilah al-Quran sebagai pedoman. Carilah salafussaleh dan ulama' sebagai teman. Mungkin nanti bersinarlah harapan. Hidup berhias semula dengan senyuman.
Dan gagak tak perlu lagi teragak-agak untuk berpijak di bumi Tuhan.
wAllahu 'alam.
No comments:
Post a Comment