Friday, April 15, 2011

Aku masih boleh pulang

Selesai solat Subuh pagi tadi, aku dapat peluang untuk pergi ziarah tanah perkuburan yang tak berapa jauh dari rumah aku. Ziarah untuk cari iktibar, peringatan tentang hakikat sebenar kehidupan.

Aku nyaris-nyaris terlepas simpang untuk masuk ke tanah perkuburan Kota Masai. Kali pertama aku datang ke sini. Tak biasa dengan jalan dia.

Suasana memang sunyi. Tak ada siapa pun kat situ. Langit pun belum betul-betul terang. Sebelum aku naik kereta untuk ke sini, ada terlintas kegusaran dalam hati aku. "Ya Allah, tolong ampunkan aku kalau-kalau aku tak mampu insaf walaupun terpampang jelas akan bukti kefanaan hidup ini. Aku takut hati aku dah keras. Ampunkan aku, ya Allah."

Ziarah aku dimulakan dengan salam ke atas ahli qubur. "Assalamu'alaikum ya ahlil qubuur, kau telah pergi dahulu, dan aku pasti akan menyusuli kamu, insha Allah." Aku membaca surah al-Fatihah sebagai memulakan do'a memohon ampun dan 'aafiat untuk aku dan semua Muslimin dan Muslimat, samada yang masih hidup atau yang sudah mati.

Tak jauh daripada tempat aku berdiri ada dua liang lahad yang aku kira baru sahaja digali. Belum ada yang mengisi. Aku jalan menghampiri liang lahad tadi. Sempit. Aku nampak seekor anak lipan berkeliaran di gigi salah satu daripada dua lubang kubur. Kalau bukan bekal amal soleh, pasti semut, lipan, kala jengking, dan binatang-binatang berbisa yang lain yang akan menemani bakal penghuni liang lahad tadi.

Setelah selesai 11 kali aku ulangi surah al-Ikhlas, aku pun melangkah ke belakang berundur untuk pulang. Setakat ini, aku belum pasti apa iktibar yang aku perolehi daripada ziarah kali ini. Hati aku masih aku rasa kering. "Astaghfirullahal 'Azeem...".

Pintu kereta aku buka. Enjin aku hidupkan. Clutch aku pijak dan gear satu aku pilih. Accelerator aku pijak dan perlahan-perlahan kereta aku menghampiri pintu keluar meninggalkan tanah perkuburan Kota Masai. Terlintas ilham di hatiku, "Aku masih boleh pulang. Mungkin lain kali aku datang ke sini, aku tetap di sini. Tak boleh kembali."

Allahu akbar!

"... dan Allah akan memberi petunjuk kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus." (al-Baqarah: 213)



Lubang kubur daripada dalam

wAllahu 'alam.

Sekejap


Hidup di atas dunia ini sangat pendek. Pada awal kelahiran kita, azan dilaungkan di telinga kanan. Dan pada waktu kematian kita, jenazah kita disolatkan. Begitulah umpamanya tempoh hidup kita di dunia. Tidaklah lebih daripada tempoh yang memisahkan azan dan solat. Sangat singkat. Sangat sekejap.

"(Terus-teruslah) Beribadah untuk Tuhan-mu sehingga tiba kepadamu suatu perkara yang diyakini (iaitu mati)." (Al-Hijr: 99)

wAllahu 'alam.

Thursday, April 14, 2011

Jangan kita berpaling

"Wahai Tuhan kami, (Penjaga dan Pelindung kami), jangan Kau palingkan hati kami sesudah Kau berikan petunjuk kepada kami, dan curahkanlah ke atas kami rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Kaulah yang Maha Pemberi." (An-Nisa': 8)

Syaitan telah memulakan usaha mereka untuk memalingkan kita daripada tauhid pada saat kita menghirup nafas pertama lagi. Sebuah hadith daripada Sahih Muslim menceritakan bagaimana syaitan datang mengganggu setiap anak yang baru dilahirkan dengan "mencucuk-cucuk" anak itu. Sehingga Nabi S.A.W. memerintahkan kita supaya melaungkan azan di telinga kanan dan iqamah di telinga kiri anak yang baru dilahirkan tadi. Dalam sebuah hadith lain, Nabi S.A.W. menceritakan bagaimana syaitan-syaitan sibuk membisikkan cadangan-cadangan nama yang tidak baik kepada ibu atau bapa untuk diberikan kepada anak mereka yang baru sehari-dua usia. Nama yang baik adalah langkah pertama dalam pembentukan karakter yang baik. Perhatikan bagaimana musuh-musuh kita memulakan kerja-kerja mereka untuk menjatuhkan kita ke dalam neraka sejak awal usia kita lagi.



Musuh-musuh kita ini tidak pernah lelah mencari jalan untuk memalingkan kita daripada mengesakan Allah sehinggalah pada sisa-sisa akhir kehidupan kita. Dan pada ketika inilah mereka memberikan serangan yang terhebat terhadap aqidah kita. Pelbagai fitnah dihujankan ke atas kita. Antaranya, menurut banyak riwayat yang kuat daripada para ulama', syaitan-syaitan boleh datang kepada kita yang sedang hampir dengan sakaratul maut dan mereka menyerupai orang-orang yang kita sayangi. Syaitan-syaitan laknat ini akan me'nasihat'kan kita supaya memilih apa saja kepercayaan selain daripada Islam sebelum kita menghembuskan nafas kita yang terakhir. Mereka bukan sahaja menawarkan agama Kristian dan Yahudi, tetapi demokrasi, Islam liberal, pluralisme, dan sebagainya sebagai 'alternatif' kepada Islam yang mulia.

Musuh kita sangat licik dan sangat tegar dalam usaha mereka untuk menyesatkan kita. Maka selalulah kita berdo'a kepada Allah Jalla wa 'Ala, agar ditetapkan hati kita atas Iman dan Islam sehingga kita melepasi saat sakaratul maut.

wAllahu'alam.