Friday, April 15, 2011

Aku masih boleh pulang

Selesai solat Subuh pagi tadi, aku dapat peluang untuk pergi ziarah tanah perkuburan yang tak berapa jauh dari rumah aku. Ziarah untuk cari iktibar, peringatan tentang hakikat sebenar kehidupan.

Aku nyaris-nyaris terlepas simpang untuk masuk ke tanah perkuburan Kota Masai. Kali pertama aku datang ke sini. Tak biasa dengan jalan dia.

Suasana memang sunyi. Tak ada siapa pun kat situ. Langit pun belum betul-betul terang. Sebelum aku naik kereta untuk ke sini, ada terlintas kegusaran dalam hati aku. "Ya Allah, tolong ampunkan aku kalau-kalau aku tak mampu insaf walaupun terpampang jelas akan bukti kefanaan hidup ini. Aku takut hati aku dah keras. Ampunkan aku, ya Allah."

Ziarah aku dimulakan dengan salam ke atas ahli qubur. "Assalamu'alaikum ya ahlil qubuur, kau telah pergi dahulu, dan aku pasti akan menyusuli kamu, insha Allah." Aku membaca surah al-Fatihah sebagai memulakan do'a memohon ampun dan 'aafiat untuk aku dan semua Muslimin dan Muslimat, samada yang masih hidup atau yang sudah mati.

Tak jauh daripada tempat aku berdiri ada dua liang lahad yang aku kira baru sahaja digali. Belum ada yang mengisi. Aku jalan menghampiri liang lahad tadi. Sempit. Aku nampak seekor anak lipan berkeliaran di gigi salah satu daripada dua lubang kubur. Kalau bukan bekal amal soleh, pasti semut, lipan, kala jengking, dan binatang-binatang berbisa yang lain yang akan menemani bakal penghuni liang lahad tadi.

Setelah selesai 11 kali aku ulangi surah al-Ikhlas, aku pun melangkah ke belakang berundur untuk pulang. Setakat ini, aku belum pasti apa iktibar yang aku perolehi daripada ziarah kali ini. Hati aku masih aku rasa kering. "Astaghfirullahal 'Azeem...".

Pintu kereta aku buka. Enjin aku hidupkan. Clutch aku pijak dan gear satu aku pilih. Accelerator aku pijak dan perlahan-perlahan kereta aku menghampiri pintu keluar meninggalkan tanah perkuburan Kota Masai. Terlintas ilham di hatiku, "Aku masih boleh pulang. Mungkin lain kali aku datang ke sini, aku tetap di sini. Tak boleh kembali."

Allahu akbar!

"... dan Allah akan memberi petunjuk kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus." (al-Baqarah: 213)



Lubang kubur daripada dalam

wAllahu 'alam.

1 comment:

s a r said...

salam ziarah :)

hmm.,entry ni memberi kesan kat hati ni. thanks for sharing :)

hajat ingin ke tanah perkuburan yang berhampiran, masih tidak kesampaian. sentiasa tertangguh dengan hal dunia. hmm.