Maha suci Allah daripada segala kekurangan, kebiasaan, dan kebutuhan kepada sesuatu. Aku ingin mengajak para pembaca sekalian untuk melihat mukjizat Isra' Mikraj ini dengan satu pendekatan yang lain daripada yang biasa. Saban tahun kita dihidangkan dengan ceramah berbentuk penceritaan sejarah peristiwa yang menjadi tanda kekuasaan dan keagungan Tuhan. Tetapi "approach" yang mengarah kepada penghayatan dan penyuburan iman masih kurang kita lihat.
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Al-Isra': 1)
Apabila kita berbicara tentang Isra' dan Mikraj, kita perlu sentiasa sedar akan bahawa hakikat peristiwa ini ialah suatu mukjizat. Mukjizat secara definisi mudah ialah sesuatu perkara yang luar biasa. Begitulah yang terjadi dalam peristiwa ini, perjalanan yang mengambil masa sebulan dengan unta, hanya ditempuhi dalam masa sebahagian daripada malam oleh pesuruh Allah, Muhammad S.A.W.. Mukjizat ini berlaku di tahun yang dipanggil Tahun Berduka--tahun di mana Siti Khadijah R.A. dan Abu Talib meninggalkan Nabi S.A.W. untuk kembali ke alam yang lebih kekal. Ada ulama' yang berpendapat perbuatan Allah mengangkat pesuruh-Nya ke langit untuk bertemunya mempunyai nilai motivasi peransang semangat untuk hamba-Nya yang dimuliakan itu.
Tetapi aku lebih berminat untuk menggarap mukjizat ini sebagai satu tanda dan bukti bahawa Allah S.W.T. akan tetap selalu bersama dengan pejuang-pejuang agama-Nya. Mengingati peristiwa ini sepatutnya menjadikan kita lebih yakin dan berani untuk mempromosikan agama yang benar di sisi Tuhan pencipta langit dan bumi. Yakinlah sahabat-sahabat dan pembaca-pembaca yang ku muliakan, bahawa kita bukanlah mempromosikan "barang" kita, tetapi "barang" Tuhan yang Maha Agung dan Kaya dari segala kecacatan.
Penjual tiket bus di terminal-terminal terpekik siang dan malam memanggil orang-orang yang lalu lalang rasa segan dan malu untuk menjual tiket mereka. Jurucakap produk-produk kecantikan menghabiskan air liur mereka saban hari menceritakan kehebatan barangan mereka kepada pelanggan-pelanggan yang datang ke pusat kecantikan. Para pemikir ke merata-rata seminar dan konvensyen menghujahkan ideologi-ideologi mereka hingga tegang dan kering kerongkong. Masing-masing berhempas pulas menjual barangan masing-masing. Tetapi mengapakah kita malu, takut, malas, atau ragu-ragu untuk menjual sesuatu yang datang dari Allah S.W.T.? Sesuatu yang lebih sempurna daripada segalan barangan yang lain.
wAllahu 'alam
No comments:
Post a Comment