Tuesday, November 4, 2008

Solat berdamping maksiat

Rasulullah S.A.W. bersabda,
"Mana-mana Muslim yang apabila masuk waktu solat yang diwajibkan, lalu dia pun berwudhuk dengan wudhuk yang baik, melaksanakan solat dengan sebaik-baiknya, begitu juga dengan rukuknya, maka solat itu merupakan kafarat (pelebur) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi mana dia tidak melakukan dosa-dosa besar." (Riwayat Muslim)
Para tetamu yang dimuliakan, ada beberapa kupasan daripada kalam baginda S.A.W. di atas yang saya berasa tertarik untuk dikongsikan. Seringkali apabila saya perbincangkan hadis ini bersama teman-teman, soalan berikut pasti berbangkit:
"Banyak juga kita lihat orang yang solat, tapi maksiatnya berterusan. Lepas solat mereka tak menutup aurat, lepas solat masih makan harta yang bukan hak mereka, lepas solat masih berbohong, lepas solat masih melihat aurat-aurat orang dengan mata terbojol. Macam-macam lagilah."
Jawapan kepada persoalan tersebut terang-terangan terletak dalam hadis baginda S.A.W. di atas. Ar-Rasul yang mulia telah menerangkan karakter-karakter solat yang mampu menjadi penebus dan pembenteng daripada dosa. Solat bukan bermula dengan takbiratul ihram, tetapi bermula dari ketika azan berkemundang. Dari saat itu seharusnya terputus hubungan kita dengan segala yang fana. Disusuli dengan wudhuk yang sempurna. Wudhuk yang hadir bersamanya roh yang berdebar-debar untuk mengadap Tuhan Penguasa Dunia dan Akhirat.


Seterusnya solat itu dilaksana dengan hati dan anggota yang taat. Rukuk dan sujud dikerjakan dengan sebaik-baik pelaksanaan. Bacaan lisan dialunkan dengan kemerduan. Hati mendengar penuh keasyikan. Solat itu hanyalah untuk yang menciptakan diri si pelakunya, terlepas daripada sebab riya' dan ujub. Dengan solat yang begini, baru mungkin kita terdinding daripada maksiat dan kekotoran jiwa.

Seterusnya saya ingin mengajak para pembaca memerhatikan bahagian terakhir hadith Nabi S.A.W. di atas - "
kafarat terhadap dosa-dosa yang telah lalu, selagi mana dia tidak melakukan dosa-dosa besar.". Kata "dosa-dosa besar" amat lali dalam masyarakat kita, sehinggakan kita lalai daripada memahami maksudnya berdasarkan wahyu.

Seorang ulama' daripada kalangan ahlil Bait (Abu 'Abdillah Jaafar bin Muhammad Shodiq) pernah menyenaraikan beberapa perbuatan yang tergolong dalam dosa-dosa besar. Tetapi saya mahu meletakkan highlight kepada beberapa perkara daripada senarai Abu 'Abdillah Jaafar seperti:
  1. Berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah S.W.T.
  2. Memutuskan persahabatan
  3. Memberi sumpah palsu
  4. Melakukan zina
  5. Merasa selamat daripada azab Allah S.W.T.
Penghuraiannya saya akan sertakan dalam entri yang akan menyusul beberapa hari lagi.

wAllahu 'alam

No comments: