Sekadar lintasan fikiran yang suka untuk saya kongsikan. Jangan kita terlalu suka atau terlalu benci kepada sesuatu perkara. Kerana, perbuatan itu akan hanya mendedahkan kelemahan kita.
Pasti dan tidak pasti
Adapun perkara yang saya maksudkan di atas adalah apa-apa yang bersifat tidak pasti (boleh berubah-ubah). Perkara yang bersifat tetap tidak ada masalah untuk disuka atau dibenci dengan keterlaluan. Contohnya, Allah, Rasulullah, agama Islam dan mati syahid semua adalah perkara yang benar dan kebenaran perkara-perkara ini tidak berubah sampai bila-bila. Syaitan, neraka, dan perkara-perkara maksiat semuanya adalah perkara yang sudah tetap keburukannya sampai bila-bila. Maka, tidak salah, malah seharusnya kita cinta Allah, Rasulullah, agama Islam dan mati syahid dengan setinggi-tinggi cinta. Sedangkan untuk syaitan, neraka, dan maksiat adalah sedalam-dalam kebencian daripada kita.
Takut dimanipulasi orang
Orang lain boleh memanipulasi kita pada perkara yang terlalu kita suka atau yang terlalu kita benci. Kerana, sesuatu perkara yang kita terlalu cinta / benci boleh menjadi ruang punca kepada orang lain untuk menyuntik gelojak dalam emosi kita.
Emosi dan intelek saling mengimbangi. Emosi yang tenang memudahkan intelek untuk menafsir keadaan; seterusnya membuahkan persepsi dan tindakan yang lebih tepat, objektif, dan selamat. Emosi yang bergelojak pula akan menekan fungsi intelek. Hasilnya, persepsi dan tindakan yang keluar selalunya kurang munasabah dan kadang-kala boleh menjatuhkan maruah. Dan kita akan menyesal dengan persepsi dan tindakan itu.
Kaya jiwa
Jadi, berhati-hati dalam mengawal emosi. Kita banyakkan istighfar dan mohon petunjuk dan perlindungan Tuhan. Satu do'a yang ma'thur dari Nabi S.A.W. menerusi riwayat Abdullah ibn Mas'ud r.a.:
"Ya Allah, aku meminta dari sisi-Mu petunjuk, taqwa, ketahanan diri, dan kekayaan (jiwa)."
wAllahu 'alam
No comments:
Post a Comment