Saturday, December 12, 2009

Kasih Tuhan dalam dosa


"Kita harus pandang semua perkara dengan mata positif," saya mulakan nasihat pendek untuk adik bongsu saya. "Bukan semua perkara la Anden (short-form kepada Abang Din; begitulah ahli keluarga lain memanggil saya). Takkan dosa-dosa pun kita nak positif jugak," dia membalas.

Dosa itu positif?

Bagaimana kita boleh melihat dosa dari sudut pandang yang positif? Kerana, sekiranya kita dapat membina satu sudut pandang positif untuk perkara-perkara bersifat dosa, maka saya kira semua perkara bisa kita lihat dengan perasaan positif.


Mampu atau tidak kita menyuntik energi positif ke dalam sesuatu perkara tergantung kepada pemahaman kita tentang makna
sudut pandang positif. Kita biasa mendengar orang berkata "belajarlah daripada kesilapan". Di balik kata-kata itulah terletak maksud sudut pandang positif. Pada hemat saya, memiliki sudut pandang positif ialah memiliki keupayaan untuk mencungkil nilai-nilai didikan yang pada sesuatu perkara atau peristiwa.

Nilai-nilai ini Allah yang letak atas dasar kasih-Nya kepada makhluk. Kadang-kadang nilai-nilai ini tampak terang dan nyata; pada waktu yang lain mereka terselindung. Maka, dengan definisi yang sebegini, tidak mustahil untuk kita menilai dosa-dosa dengan sudut pandang yang positif.


Kasihnya Tuhan ar-Rasheed

Definisi yang saya utarakan bukanlah sekadar hasil cetusan minda, ikut selera cita rasa sendiri. Tetapi, definisi ini saya dasarkan kepada maksud nama Allah yang Maha Mulia iaitu ar-Rasheed - Yang Maha Memberi Petunjuk. Saya yakin sifat ar-Rasheed melangkaui setiap lapisan kehidupan (level of existence), dimensi tempat, dan batasan masa.

Allahur Rasheed sentiasa mahu menunjukkan hamba-hamba-Nya ke jalan yang benar lagi selamat. Dia menetapkan pahala dan dosa semata-mata untuk menjadikan jalan yang benar itu semakin jelas. Kita menjadi lebih yakin dengan kebenaran apabila diletakkan di sisinya keburukan sebagai perbandingan. Begitu juga sebaliknya; kita menjadi lebih sangsi dengan kepalsuan apabila dilihatkan bersama dengan kepalsuan itu cahaya kebenaran. Konklusinya, Allah menetapkan dosa supaya kita cenderung kepada pahala; Allah menetapkan pahala supaya kita jauh daripada dosa.

Betapa kasihnya Tuhan kepada kita? Semoga adik saya memahami hakikat ini.

Dosa dan akibatnya

Setiap dosa ada akibatnya. Akibat boleh menjelma dalam dua bentuk. Bentuk pertama ialah kesan dosa itu terhadap diri kita dan persekitaran. Sebagai contoh, dosa mengumpat akan menjatuhkan maruah si pengumpat dan menanam benih-benih kebencian terhadap orang yang diumpat. Bentuk yang kedua ialah hukuman yang telah Tuhan tetapkan: hukuman di dunia dan hukuman di akhirat. Hukuman Tuhan di dunia berbentuk hukum hudud dan ta'zir dan di akhirat, ia berbentuk azab akhirat yang menakutkan.

Allah yang Maha Penyayang menetapkan hukuman yang dahsyat dan menakutkan untuk dosa-dosa supaya kita menjauhi perbuatan-perbuatan ini. Kerana apa Allah mahu kita jauh daripada dosa-dosa? Kerana kesan buruk dosa-dosa ini ke atas diri dan persekitaran kita. Allah mahukan hidup yang baik untuk kita. Hidup yang baik hanya boleh dicapai dengan dosa yang minimal dan pahala yang maksimal. Dan untuk sebab itu, Allah janjikan pula ganjaran yang berganda-ganda untuk perbuatan-perbuatan yang baik.

Taubat

Hapuskanlah setiap dosa yang kita lakukan dengan taubat. Susurilah pula dengan perbuatan yang membuahkan pahala. Lihatlah kasih sayang Tuhan yang tersirat di sebalik ketetapan dosa dan pahala ini. Galilah nilai-nilai didikan rabbani yang terselindung di balik hitamnya kelabu dosa, dan terangnya cahaya pahala.

wAllahu 'alam

2 comments:

Anonymous said...

كل ابن آدم خطاء، وخير الخطائين التوابون"رواه الترمذي وابن ماجه والحاكم، وقال: هذا حديث صحيح الإسناد، ولم يخرجاه

"setiap anak adam pasti melakukan kesalahan, dan sebaik baik kesalahan ada adalah taubat".

Unknown said...

dosa,neraka yang tak diimani tak bermakna,jahat yang masih akan terbuatkan.