Wednesday, March 9, 2011

Kita buat Quran sekadar penyeri majlis

Saya tak ragu-ragu nak cakap yang ummat kita sekarang dhaif, lemah. Sebab tiap-tiap hari saya boleh nampak bagaimana ummat ini membaca al-Quranul Karim hanya untuk tujuan-tujuan yang bukan asas. Contohnya, bacaan untuk membuka dan memberkati majlis, bacaan untuk si mati, bacaan ketika kenduri kesyukuran sempena menyambut hari lahir atau hari ulang tahun perkahwinan, dan sebagainya.

Bila ummat Islam sudah mula nampak al-Quran daripada persepsi yang sempit, seperti yang saya ceritakan kat atas, maknanya ummat Islam sedang terkapai-kapai, tak ada arah tujuan. Allah yang Maha Kaya turunkan al-Quran kepada kita untuk dibuat panduan; rujukan dalam segala perkara yang bersangkut-paut dengan hidup dan mati. Sahabat-sahabat Nabi S.A.W. sangat berdisiplin dalam menghayati al-Quran. Mereka akan belajar hanya 10 ayat dan berusaha, bermujahadah untuk mengamalkan ayat-ayat tersebut sehingga ayat-ayat itu meresap ke dalam darah daging mereka. Tujuan ayat-ayat itu pun menjadi tabiat hidup mereka. Hanya setelah itu mereka berganjak untuk mempelajari 10 ayat yang lain.

Lagi menyedihkan, ada pula segolongan manusia daripada ummat ini yang sibuk mempelajari al-Quran untuk tujuan berhujah dan memenangkan kelompok masing-masing. Intipati al-Quran ditelaah untuk menjadi pedang dan perisai ketika bertarung dalam debat-debat yang mungkin tak akan membuahkan amal soleh. Lebih mungkin, debat-debat ini akan menambah dosa, benci dan hasad.

Ummat Islam di zaman ar-Rasul S.A.W. dulu sedikit bilangannya. Tak kaya harta materialnya. Tapi hidup jiwanya dengan ruh al-Quran. Sebab itu mereka kuat. Sebab itu Allah sayang pada mereka. Musuh pula gementar bila berhadapan dengan mereka.

Al-Quran ini seharusnya bila dibaca, bergetarlah jiwa kerana takutnya kepada Allah. Atau tenanglah jiwa kerana yakin dengan rahmat Allah. Atau bersemangatnya jiwa kerana harapnya pada syurga Allah. Begitulah yang sepatutnya.

"Kalaulah Kami turunkan al-Quran ini untuk sebuah gunung, pasti kamu akan melihat gunung itu tunduk sehingga hancur terbelah sebab takutnya ia kepada Allah. Perumpamaan-perumpamaan ini kami lukiskan buat manusia supaya mereka berfikir." (al-Hasyr: 21)

wAllahu 'alam

2 comments:

Unknown said...

quran terpisah kan dari cara hidup.

Raja Wani said...

thumbs up harith(jambs) :)
Bravo