Baru-baru ini saya diberi peluang oleh Allah S.W.T. untuk berkongsi sedikit kebaikan dan pengetahuan yang saya ada berkenaan masalah cinta sesama manusia di sebuah forum di kolej. Forum tersebut bertajuk "Ada Apa dengan Cinta?". Saya ada seorang kawan yang sedang mengalami krisis kecil tentang perasaan cinta lawan jantina. Dan saya bersyukur yang dia datang ke forum itu. Tapi selepas beberapa hari semenjak forum tersebut, nampaknya kekeliruan dia tidak surut, malah bertambah rumit.
Entri kali ini mungkin sangat spesifik untuk tuan punya diri yang saya maksudkan di atas. Tetapi, harapnya apa-apa kebaikan dapat kita manfaatkan, dan segala keburukan dapat kita jauhkan.
Saya berpendapat cinta adalah mustahil untuk timbul sebelum terjalinnya apa-apa ikatan yang sah. Perkataan cinta itu datang bersamanya peranan, tanggungjawab, dan pengorbanan. Cinta itu perlu didahului dengan berkat Ilahi dan restu keluarga. Cinta bukan dipandu oleh kehendak hati yang selalunya diselubungi nafsu. Kalau rakan-rakan pembaca pernah menonton filem "Ayat-ayat Cinta", perhatikan bagaiman Maria membezakan antara cinta dan keinginan untuk memiliki.
Jangan senang-senang menjaja perkataan cinta. Cinta itu sesuatu yang teramat mahal. Perasaan yang suci yang Tuhan anugerahi untuk memenuhi fitrah insani. Pandukan perasaan cinta dengan wahyu dan sunnah ar-Rasul. Semoga Allah S.W.T. memberi petunjuk kepada kita.
wAllahu 'alam
No comments:
Post a Comment