Better to write for yourself and have no public, than to write for the public and have no self. -Cyril Connolly (1903-1974)
Saturday, February 27, 2010
Jadilah orang yang terkenal!
Golongan pertama ialah mereka yang terkenal di bumi dan di langit. Mereka ini sangat dekat dengan Allah S.W.T.. Antara orang yang termasuk dalam golongan ini ialah Rasulullah S.A.W. dan Nabi Isa A.S..
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi (Muhammad S.A.W.); wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi (Muhammad S.A.W.) dan ucapkanlah salam kepadanya." (al-Ahzab: 56)
"Ingatlah ketika Malaikat berkata, "Wahai Maryam, sesungguhnya Allah ada berita gembira untukmu iaitu kalimah daripada-Nya, (kamu akan melahirkan seseorang) yang namanya al-Masih Isa putera Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan akhirat dan dia termasuk daripada kalangan orang yang dekat dengan Allah." (Ali-Imran: 45)
Golongan kedua ialah mereka yang tidak dikenali di bumi, tetapi sangat terkenal di langit. Mereka ini golongan yang dirahmati Allah. Contoh mereka yang tergolong dalam golongan ini ialah 'Uwais al-Qarni. Dia masuk Islam semasa zaman Rasulullah S.A.W., namun ar-Rasul tidak pernah bersua muka dengannya. Kita barangkali tidak pernah mendengar namanya sebelum ini. Tetapi, ar-Rasul pernah bersabda bahawa setiap do'a 'Uwais pasti dimakbulkan.
Golongan ketiga ialah mereka yang terkenal di bumi, tetapi tidak pula terkenal di langit. Mereka ini golongan yang dilaknat. Contoh daripada golongan ini ialah fir'aun, hitler, dan mereka yang terkenal dengan maksiat semasa hidup dan mati dalam kekufuran.
"Sesungguhnya orang-orang telah kafir dan mereka telah pun mati dalam kekufuran, mereka itu mendapat laknat daripada Allah, para malaikat, dan manusia seluruhnya." (al-Baqarah: 161)
Golongan keempat ialah mereka yang tidak terkenal di bumi dan juga di langit. Mereka ini ialah golongan yang celaka. Dunia tidak kesampaian, akhirat pula berciciran. Mereka ini ialah kita. Di dunia kita tidak dikenali. Di langit juga nama kita termasuk dalam do'a para malaikat. Tetapi, terkecuali daripada golongan ini mereka yang rajin berselawat ke atas Nabi S.A.W. dan mereka yang kuat bermunajat di waktu malam. Tuhan berbangga dan merahmati orang-orang ini.
wAllahu 'alam.
Saturday, February 20, 2010
Pesan ayah
Aku baru sampai daripada Johor Bahru pagi tadi. Semalam ayah dan keluarga menghantar aku ke stesen keretapi. Dalam perjalanan ke stesen keretapi, ayah sempat membekalkan aku pesan & nasihat, simbol kasih dia pada aku.
Ada tiga pesan ayah.
1) "Ilmu yang engkau kandung di dada masih sedikit. Tapi, ilmu yang belum kau amalkan masih banyak."
2) "Kita semasa hidup, kena kejar kematian. Jangan biarkan kematian yang kejar kita. Orang yang kejar kematian itu orangnya sangat rindu pada Allah S.W.T.. Sedangkan orang yang dikejar oleh kematian itu orangnya sangat benci pada Allah S.W.T.."
3) Nasihat yang akhir, "Quran dan Sunnah ar-Rasul, jangan kau lupakan atau buat-buat lupa. Takut-takut nanti Tuhan lupakan kamu. Gigit dua panduan wahyu itu dengan gerahammu."
Nasihat-nasihat sebegini yang ditinggalkan oleh seorang ayah adalah lebih mahal dan bermakna daripada sekeping kad kredit platinum atau kunci kereta mewah atau apa-apa yang lain yang materi. Nasihat-nasihat sebegini untuk bekalan kita mencari bahagia yang sebenar, yang hakiki. Nasihat-nasihat ini adalah senjata untuk kita mengubah dunia. Semoga Allah membalas segala kebaikan ayah dan mengampuni dosa-dosanya.
wAllahu 'alam
Saturday, February 6, 2010
Izin kita bukan erti redha / sokongan kita
Sebelum saya meneruskan komentar saya berkenaan dengan video ini, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah menafikan keilmuan dan kesarjanaan Dato' Dr. Haron Din. Bahkan saya mengagumi dan mendambakan keahlian dan kefaqihan yang sebegitu. Saya ingin berkhilaf dengan beliau, tetapi atas ilmu, hujah dan bukti. Bukan atas pemikiran saya semata-mata, tanpa panduan ilmu dan hujah.
Sekali lagi saya ingin menengahkan kesimpulan yang pernah dibuat oleh Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin: "beri izin bukan bererti meredhai". Dan sudah tentu hanya dalam perkara yang jatuh hukum harus sahaja yang dibolehkan untuk kita beri izin. Kita beri izin bila Allah beri izin. Di sana banyak pendapat ulama' yang menjatuhkan hukum harus pada penggunaan nama Allah oleh orang-orang kafir.
Saya lebih suka untuk melihat dan memikirkan tentang hakikat level iman ummat Islam di negara ini, kelesuan aktiviti dan institusi dakwah, dan kepentingan menjaga keamanan dalam negara.
Mungkin sangat berguna untuk kita memikirkan kebijaksanaan Rasulullah S.A.W. sewaktu baginda menandatangani perjanjian Hudaibiyah. Baginda tidak cepat melatah apabila kaum musyrik Quraisy yang diwakili oleh Suhail bin Amr yang membantah untuk menulis "Muhammad Rasulullah". Rasulullah S.A.W. menerima bantahan tersebut dan bersetuju untuk menulis "Muhammad ibn Abdullah". Persoalannya di sini, apabila baginda tidak melawan bantahan Suhail, adakah baginda Nabi S.A.W. redha dengan penafian kerasulan baginda yang dinyatakan oleh kaum Quraisy?
Sebelum saya mengakhiri komentar, saya ingin berkongsi satu lagi persoalan dengan rakan-rakan pembaca. Mari kita nilai dua pernyataan ini.
Pernyataan 1: Allah mempunyai anak.
Pernyataan 2: Tuhan mempunyai anak.
Persoalannya di sini, adakah pernyataan 1 lebih syirik daripada pernyataan 2? Adakah pernyataan 1 lebih menyesatkan daripada pernyataan 2? Adakah iman kita akan terhapus apabila kita mengucapkan pernyataan 1, tetapi tidak dengan mengucapkan pernyataan 2?
wAllahu 'alam
Kalimah Allah: Mencari kebenaran, menutup kekeliruan
Sebelum forum
Saya datang ke forum tersebut dengan pendirian bahawa hujah-hujah yang mendesak kepada pengukuhan institusi dakwah semakin kuat dengan kemunculan isu kalimah Allah ini. Walaupun begitu, perbincangan saya dan rakan-rakan berkenaan dengan isu ini lebih tertumpu kepada adakah Islam membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang beragama lain. Tak ramai rakan-rakan saya begitu berminat untuk bercakap atau berfikir tentang isu ini daripada aspek yang lain seperti strategi dakwah yang ampuh untuk kita selesaikan polemik-polemik yang ada, terutamanya polemik aqidah yang termanifestasi oleh kekalutan dalam pengurusan isu kalimah Allah ini.
Selepas forum
Panel-panel yang dijemput adalah Ustaz Nasrudin Tantawi (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA, bekas Mufti Perlis), dan Dato' Chua Juei Meng (bekas Menteri Kesihatan). Pendangan-pandangan setiap ahli panel begitu menarik, dengan isi pemikiran yang menyegarkan dan tersendiri.
Saya begitu tertarik dengan argument yang diutarakan oleh Ustaz Nasrudin yang menyatakan bahawa di sana ada perbezaan di antara cara menanggap dan menangani sesuatu isu itu. Tanggapan yang betul dibina oleh perspekstif yang betul dan dari sudut yang tepat. Cara menangani sesuatu isu pula dibina daripada tindakan-tindakan yang berkesan ke atas kesan-kesan isu tersebut.
Contohnya dalam isu penggunaan kalimah Allah ini, Dr. MAZA telah menyediakan kita satu sudut pandang yang tepat lagi menarik. Dr. MAZA sudah banyak kali dalam ucapan dan penulisannya menegaskan bahawa isu ini bukanlah isu kekhilafan dalam penafsiran nas-nas agama; bahkan, isu ini adalah isu pengurusan dan pengkadaran hak yang adil oleh pemerintah. Isu ini bukanlah medan untuk ummat Islam bertarung hujah dalam menentukan pendapat siapa yang lebih rajih. Isu ini juga bukan sidang untuk kita berdebat dengan penganut agama-agama lain untuk menentukan agama siapa yang lebih benar.
Seperti yang sudah saya nyatakan tadi, Dr. MAZA mahukan ahli-ahli politik yang membawa imej Islam supaya menggunakan peluang ini untuk menunjukkan 'izzah Islam dengan menguruskan hak-hak orang bukan Islam iaitu menggunakan nama Allah. Saya cukup suka dengan kesimpulan yang dibuat oleh Dr. MAZA iaitu "memberi izin tidak bererti kita redha." Contohnya, kerajaan kita memberi izin untuk gereja, kuil, dan tokong dibina di negara ini tidak bermakna kita redha dengan kesesatan agama-agama selain daripada Islam. Agama kita memberi izin kepada orang-orang kafir zimmi untuk mengamalkan agama masing-masing tidak bermakna agama kita redha dengan agama-agama mereka. Bukti kitdak-redhaan kita ialah dakwah kita yang terus-terus untuk membawa mereka keluar daripada kegelapan agama mereka.
Seterusnya, kita harus mampu menyenaraikan langkah-langkah yang berkesan untuk menangani akibat-akibat daripada sesuatu isu itu. Antara akibat-akibat yang significant yang telah pun terhasil daripada isu penggunaan kalimah Allah ini adalah kekeliruan tentang agama di kalangan orang Islam dan orang bukan Islam dan juga hostility terhadap agama Kristian dan Islam.
Bagaimana harus kita tangani kekeliruan ummat tentang Islam yang begitu membelit ini? Ustaz Nasrudin Tantawi menjawab, "dakwah". Lebih spesifik, pemerkasaan institusi-institusi dakwah di negara kita. Kita harus memikirkan jalan-jalan yang kreatif dan menarik untuk ummat melepaskan diri mereka daripada segala macam kekeliruan. Kita harus memikirkan idea-idea yang segar untuk membuatkan ummat kembali cinta kepada Allah. Kita harus memikirkan ungkapan-ungkapan yang bernas yang boleh mematikan dogma-dogma terhadap pengertian agama. Segalanya mesti dimulakan dengan membina dan mengukuhkan medium-medium dan organisasi-organisasi dakwah di negara kita.
Musuh-musuh Allah telah pun cuba untuk menyalakan api permusuhan di antara orang Islam dan orang Kristian dengan membakar tempat-tempat ibadah kedua-dua agama tersebut. Bagaimana pula kita boleh memadamkan percik-percik api permusuhan yang cuba dinyalakan oleh musuh-musuh Allah ini? Kuncinya adalah fokus kepada memelihara keamanan dalam kehidupan bermasyarakat yang berbilang kaum. Sikap hormat-menghormati, tidak cepat melatah, kecendurangan kepada perbincangan dan kedamaian adalah hasil daripada fokus yang saya maksudkan di atas. Sikap-sikap ini akan memadamkan sebarang api permusuhan yang mungkin menyala. Begitulah penjelasan Dato' Chua Juei Meng berkenaan langkah-langkah yang bijak untuk mematahkan serangan-serangan oleh pihak yang cuba mencetuskan huru-hara di negara ini.
wAllahu 'alam
Monday, February 1, 2010
Kiri atau kanan?
kita pun ke kiri.
Orang suruh kita ke kanan,
kita pun ke kanan.
Orang suruh kita berlari,
kita pun berlari.
Orang suruh kita berjalan,
kita pun berjalan.
Mana pergi akal fikiran yang Tuhan pinjamkan?
Tuhan pinjamkan akal fikiran atas satu tujuan,
untuk menafsirkan dan memahamkan,
segala ayat-ayat kebesaran Tuhan,
dari kitab suci dan sabda Rasul junjungan,
dari titis-titis air hujan yang menyejukkan,
dari sinaran matahari yang menerangkan,
dari cahaya rembulan yang menawan,
dari sentuhan seorang ibu yang penuh dengan kelembutan,
dari titik-titik peluh ayah tanda kesetiaan,
dari suapan-suapan rezeki yang membutuh kesyukuran,
dari deria rasa, pendengaran, dan penglihatan,
dari hirup-hirup nafas nadi kehidupan.
Jangan lupakan Tuhan,
supaya kita tidak dilupakan dengan hakikat insan,
yang selalu keliru dan perlu pada pedoman.
wAllahu 'alam