Saturday, February 6, 2010

Izin kita bukan erti redha / sokongan kita


Sebelum saya meneruskan komentar saya berkenaan dengan video ini, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah menafikan keilmuan dan kesarjanaan Dato' Dr. Haron Din. Bahkan saya mengagumi dan mendambakan keahlian dan kefaqihan yang sebegitu. Saya ingin berkhilaf dengan beliau, tetapi atas ilmu, hujah dan bukti. Bukan atas pemikiran saya semata-mata, tanpa panduan ilmu dan hujah.

Sekali lagi saya ingin menengahkan kesimpulan yang pernah dibuat oleh Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin: "beri izin bukan bererti meredhai". Dan sudah tentu hanya dalam perkara yang jatuh hukum harus sahaja yang dibolehkan untuk kita beri izin. Kita beri izin bila Allah beri izin. Di sana banyak pendapat ulama' yang menjatuhkan hukum harus pada penggunaan nama Allah oleh orang-orang kafir.

Saya lebih suka untuk melihat dan memikirkan tentang hakikat level iman ummat Islam di negara ini, kelesuan aktiviti dan institusi dakwah, dan kepentingan menjaga keamanan dalam negara.

Mungkin sangat berguna untuk kita memikirkan kebijaksanaan Rasulullah S.A.W. sewaktu baginda menandatangani perjanjian Hudaibiyah. Baginda tidak cepat melatah apabila kaum musyrik Quraisy yang diwakili oleh Suhail bin Amr yang membantah untuk menulis "Muhammad Rasulullah". Rasulullah S.A.W. menerima bantahan tersebut dan bersetuju untuk menulis "Muhammad ibn Abdullah". Persoalannya di sini, apabila baginda tidak melawan bantahan Suhail, adakah baginda Nabi S.A.W. redha dengan penafian kerasulan baginda yang dinyatakan oleh kaum Quraisy?

Sebelum saya mengakhiri komentar, saya ingin berkongsi satu lagi persoalan dengan rakan-rakan pembaca. Mari kita nilai dua pernyataan ini.

Pernyataan 1: Allah mempunyai anak.

Pernyataan 2: Tuhan mempunyai anak.

Persoalannya di sini, adakah pernyataan 1 lebih syirik daripada pernyataan 2? Adakah pernyataan 1 lebih menyesatkan daripada pernyataan 2? Adakah iman kita akan terhapus apabila kita mengucapkan pernyataan 1, tetapi tidak dengan mengucapkan pernyataan 2?

wAllahu 'alam

No comments: