Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri sebuah forum anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat tentang isu penggunaan kalimah 'Allah'. Saya berasa begitu bahagia sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas forum itu tamat. Mungkin kerana kesimpulan-kesimpulan daripada forum tersebut menguatkan lagi pendirian saya. Semoga Tuhan memberi kita semua petunjuk dalam menanggapi isu ini.
Sebelum forum
Saya datang ke forum tersebut dengan pendirian bahawa hujah-hujah yang mendesak kepada pengukuhan institusi dakwah semakin kuat dengan kemunculan isu kalimah Allah ini. Walaupun begitu, perbincangan saya dan rakan-rakan berkenaan dengan isu ini lebih tertumpu kepada adakah Islam membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang beragama lain. Tak ramai rakan-rakan saya begitu berminat untuk bercakap atau berfikir tentang isu ini daripada aspek yang lain seperti strategi dakwah yang ampuh untuk kita selesaikan polemik-polemik yang ada, terutamanya polemik aqidah yang termanifestasi oleh kekalutan dalam pengurusan isu kalimah Allah ini.
Selepas forum
Panel-panel yang dijemput adalah Ustaz Nasrudin Tantawi (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA, bekas Mufti Perlis), dan Dato' Chua Juei Meng (bekas Menteri Kesihatan). Pendangan-pandangan setiap ahli panel begitu menarik, dengan isi pemikiran yang menyegarkan dan tersendiri.
Saya begitu tertarik dengan argument yang diutarakan oleh Ustaz Nasrudin yang menyatakan bahawa di sana ada perbezaan di antara cara menanggap dan menangani sesuatu isu itu. Tanggapan yang betul dibina oleh perspekstif yang betul dan dari sudut yang tepat. Cara menangani sesuatu isu pula dibina daripada tindakan-tindakan yang berkesan ke atas kesan-kesan isu tersebut.
Contohnya dalam isu penggunaan kalimah Allah ini, Dr. MAZA telah menyediakan kita satu sudut pandang yang tepat lagi menarik. Dr. MAZA sudah banyak kali dalam ucapan dan penulisannya menegaskan bahawa isu ini bukanlah isu kekhilafan dalam penafsiran nas-nas agama; bahkan, isu ini adalah isu pengurusan dan pengkadaran hak yang adil oleh pemerintah. Isu ini bukanlah medan untuk ummat Islam bertarung hujah dalam menentukan pendapat siapa yang lebih rajih. Isu ini juga bukan sidang untuk kita berdebat dengan penganut agama-agama lain untuk menentukan agama siapa yang lebih benar.
Seperti yang sudah saya nyatakan tadi, Dr. MAZA mahukan ahli-ahli politik yang membawa imej Islam supaya menggunakan peluang ini untuk menunjukkan 'izzah Islam dengan menguruskan hak-hak orang bukan Islam iaitu menggunakan nama Allah. Saya cukup suka dengan kesimpulan yang dibuat oleh Dr. MAZA iaitu "memberi izin tidak bererti kita redha." Contohnya, kerajaan kita memberi izin untuk gereja, kuil, dan tokong dibina di negara ini tidak bermakna kita redha dengan kesesatan agama-agama selain daripada Islam. Agama kita memberi izin kepada orang-orang kafir zimmi untuk mengamalkan agama masing-masing tidak bermakna agama kita redha dengan agama-agama mereka. Bukti kitdak-redhaan kita ialah dakwah kita yang terus-terus untuk membawa mereka keluar daripada kegelapan agama mereka.
Seterusnya, kita harus mampu menyenaraikan langkah-langkah yang berkesan untuk menangani akibat-akibat daripada sesuatu isu itu. Antara akibat-akibat yang significant yang telah pun terhasil daripada isu penggunaan kalimah Allah ini adalah kekeliruan tentang agama di kalangan orang Islam dan orang bukan Islam dan juga hostility terhadap agama Kristian dan Islam.
Bagaimana harus kita tangani kekeliruan ummat tentang Islam yang begitu membelit ini? Ustaz Nasrudin Tantawi menjawab, "dakwah". Lebih spesifik, pemerkasaan institusi-institusi dakwah di negara kita. Kita harus memikirkan jalan-jalan yang kreatif dan menarik untuk ummat melepaskan diri mereka daripada segala macam kekeliruan. Kita harus memikirkan idea-idea yang segar untuk membuatkan ummat kembali cinta kepada Allah. Kita harus memikirkan ungkapan-ungkapan yang bernas yang boleh mematikan dogma-dogma terhadap pengertian agama. Segalanya mesti dimulakan dengan membina dan mengukuhkan medium-medium dan organisasi-organisasi dakwah di negara kita.
Musuh-musuh Allah telah pun cuba untuk menyalakan api permusuhan di antara orang Islam dan orang Kristian dengan membakar tempat-tempat ibadah kedua-dua agama tersebut. Bagaimana pula kita boleh memadamkan percik-percik api permusuhan yang cuba dinyalakan oleh musuh-musuh Allah ini? Kuncinya adalah fokus kepada memelihara keamanan dalam kehidupan bermasyarakat yang berbilang kaum. Sikap hormat-menghormati, tidak cepat melatah, kecendurangan kepada perbincangan dan kedamaian adalah hasil daripada fokus yang saya maksudkan di atas. Sikap-sikap ini akan memadamkan sebarang api permusuhan yang mungkin menyala. Begitulah penjelasan Dato' Chua Juei Meng berkenaan langkah-langkah yang bijak untuk mematahkan serangan-serangan oleh pihak yang cuba mencetuskan huru-hara di negara ini.
wAllahu 'alam
No comments:
Post a Comment