Tuesday, July 13, 2010

Pengalaman Hj Jamaluddin di Gaza II



Kita sambung kisah kedua daripada perkongsian pengalaman Tuan Haji Jamaluddin Elias, sukarelawan kapal kemanusiaan Mavi Marmara dan juga Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia.

Kisah 2: Kami sehidup semati

Ketika Gaza menghadapi serangan tentera rejim Zionis pada Disember 2008, Tuan Haji Jamaluddin bersama dengan 7 orang doktor datang menghulurkan bantuan di bawah payung Yayasan Amal Malaysia. Suatu petang, Tuan Haji bersama beberapa orang doktor. membuat rondaan ke khemah-khemah yang menempatkan anak-anak yang diyatim-piatukan oleh tentera Zionis laknatullah pada perang tersebut. Rondaan tersebut bertujuan untuk memastikan anak-anak itu berada dalam keadaan yang okay dan untuk memberikan selimut kepada mereka. Gaza berada dalam musim sejuk ketika itu. Suhu kadang-kala mencapai takat beku.

Di samping selimut dan peti pertolongan cemas, Tuan Haji membawa bersamanya sebekas gula-gula sebagai buah tangan lawatannya ke khemah anak-anak yang dilindungi Allah S.W.T. tersebut. Mereka pun menyelak pintu khemah yang pertama. Tuan Haji mengucapkan salam sambil tersenyum melihat lebih kurang 20 kanak-kanak yang tinggal di dalam khemah itu. Ada yang membalas salam dan senyuman beliau, ada yang masih leka bergurau, dan ada yang duduk diam sahaja.

Rombongan Tuan Haji pun mula mengeluarkan selimut untuk diberikan kepada kanak-kanak di situ. Lantas seorang anak lelaki yang berusia tidak lebih daripada 13 tahun bangkit ingin menyambut pemberian rombongan Tuan Haji. "JazakAllahu khair," ucap anak itu kepada Tuan Haji tanda terima kasih. Mungkin dia yang paling tua di kalangan anak-anak yatim yang tinggal di situ.

Kemudian, anak lelaki tadi cepat-cepat memanggil 'adik-adik'-nya. Mereka segera menyusun diri dalam kumpulan-kumpulan mengikut saiz badan. Yang bersaiz kecil disatukan dalam kumpulan yang sama; yang besar bersama yang besar. Satu selimut dikongsikan antara tiga hingga lima orang kanak-kanak. Mereka sibuk memastikan bahawa tiada siapa yang akan tidur kesejukan malam ini.

Tuan Haji kemudian mengeluarkan bekas gula-gula yang dibawanya tadi. Dia pergi ke kumpulan-kumpulan kecil anak-anak tadi. Setiap seorang Tuan Haji beri satu gula. Seronok anak-anak ini. Sebiji gula-gula tadi seolah-olah satu big treat untuk mereka. Tuan Haji terus memberi gula-gula tadi, berpindah daripada satu kumpulan kecil ke kumpulan kecil yang lain.

Apabila beliau tiba di kumpulan yang terakhir, gula-gula yang dibawa Tuan Haji telah habis meninggalkan seorang anak perempuan kecil tanpa gula-gula. Sayu mata anak itu. Apa yang membuat Tuan Haji Jamaluddin terharu adalah, setiap anak-anak dalam kumpulan anak perempuan tersebut dengan segera membuka bungkusan gula-gula masing-masing. Mereka cuba memecahkan gula-gula dengan gigi untuk diberikan sebahagian kepada anak perempuan kecil tadi. Apa yang berlaku ialah anak perempuan itu akhirnya mendapat lebih banyak gula-gula daripada kanak-kanak lain. Tiada siapa merungut. Mereka semua berpuas hati kerana tiada siapa yang tidak dapat merasa gula-gula Tuan Haji Jamaluddin.

Sekali lagi, mari kita bandingkan keadaan anak-anak yatim di bumi perjuangan itu dengan anak-anak kita yang tidak pernah kenal erti lapar.

wAllahu 'alam.