Tuesday, July 13, 2010

Pengalaman Hj Jamaluddin di Gaza

Ahad lepas, Allah telah memberi peluang kepada saya untuk bertemu dengan seorang daripada sukarelawan Mavi Marmara, Tuan Hj. Jamaluddin Elias. Beliau merupakan Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia, salah sebuah humanitarian NGO di Malaysia.

Kisah yang ingin saya kongsikan bukanlah daripada pengalaman beliau ketika berlayar dengan kapal Mavi Marmara. Tiga kisah di bawah adalah sebahagian daripada pengalaman beliau di Gaza sewaktu peperangan Disember 2008. Waktu itu, beliau datang untuk memberi bantuan kemanusiaan di bawah payung Yayasan Amal Malaysia.

Kisah 1: "Kami mahu ummi, kami mahu abi."

Satu petang, setelah selesai bermesyuarat bersama sukarelawan-sukarelawan daripada segenap dunia, daripada pelbagai jenis organisasi, Tuan Hj Jamaluddin bersama beberapa rakan Yayasan Amal Malaysia pergi bersiar-siar mengambil angin. Tak jauh mereka berjalan, mereka melintasi longokan batu-bata dari rumah-rumah penduduk Gaza yang ranap dek bom Zionis.

Di atas runtuhan tersebut, ada beberapa orang anak-anak kecil yang sedang bermain-main. Tuan Haji dan rakan-rakan menghampiri kanak-kanak itu sambil memberi salam. Ketika Tuan Haji dan rakan-rakan sedang berusaha mendaki longokan batu-bata tersebut, terdengar suatu jeritan daripada seorang penduduk Gaza dalam lingkungan 40-an seolah-olah menegah perbuatan mereka. Tuan Haji tidak menghiraukan tegahan itu. Beliau benar-benar mahu bermesra dengan anak-anak bumi perjuangan itu.

Tuan Haji melutut di hadapan anak-anak itu dan dia sekali lagi memberi salam. Mereka menjawab dengan penuh ceria. Tuan Haji Jamaluddin menghulurkan tangan seolah-olah menawarkan dakapan kepada anak-anak itu. Seorang anak lelaki lantas merebahkan dirinya ke dalam dakapan Tuan Haji seraya bersuara, "Abi!". Laju mengalirkan air mata Tuan Haji. Seorang lagi si comel menerpa ke arah Tuan Haji dan beliau cepat-cepat melebarkan sebelah tangannya untuk menyambut anak itu ke dakapannya. Kanak-kanak yang lain juga cepat-cepat menuju ke arah kawan-kawan Tuan Haji yang lain. Sayup-sayup kedengaran rintihan suara, "Abi, abi".

Mereka ini adalah anak-anak yatim Gaza. Lelaki yang cuba menegah Tuan Haji dan rakan-rakan daripada mendekati anak-anak ini tadi sudah pun menjangkakan perkara begini akan terjadi. Anak-anak ini rindu belaian ayah dan ibu. Mereka begitu mendambakan hangat pelukan daripada ayah dan ibu.

Tuan Haji begitu terharu dengan peristiwa itu. Beliau berkata kepada saya, "anak-anak kita di Malaysia nak dipujuk, baru dapat kita peluk. Anak-anak yatim berlari minta dipeluk. Mereka tahu mahalnya nilai belaian ayah dan ibu."



Kisah 2 bersambung esok. Penat.

wAllahu 'alam