Monday, July 26, 2010

"Tak semua manusia sempurna"


"Tak semua manusia sempurna!". Biasakan kita dengar ungkapan begini? Inilah kata-kata yang hanya keluar daripada orang-orang yang merugi. Saya ingin bertanya para pembaca dengan satu soalan, "Adakah manusia yang sempurna?"

Kesempurnaan itu hanya milik Allah S.W.T. Sedangkan ar-Rasul S.A.W. yang mulia juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan-kesalahan. Sekali lagi saya ulang, Nabi S.A.W. juga melakukan kesalahan, bukan dosa. Saya tak mahu ada kontroversi yang tak sepatutnya di sini kerana maksud tulisan saya kali ini bukan untuk membahas status kemaksuman Nabi kita yang mulia. Bukti Nabi S.A.W. pernah melakukan kesalahan ada direkodkan Allah yang Maha Sempurna dalam surah 'Abasa. Boleh semak sebab nuzul (penurunan) potongan ayat-ayat pertama daripada surah itu.

Sekarang mari kita bincangkan sebab-sebab biasa mengapa orang mengungkapkan kata-kata yang sungguh tak logik ini - "tak semua manusia sempurna". Saya akan bukakan satu senario yang biasa untuk anda sama-sama fikirkan tentang sebab-sebab yang biasa mengapa orang mengeluarkan kata-kata tersebut.

Penulis: "Kamu tak nak cuba bertudung ke?"

Perempuan Muslim 1: "Apa gunanya pakai tudung, kalau hati busuk. Suka benci dan mengata orang lain. Iman tu letaknya kat hati."

Penulis: "Kalau macam tu, jadilah perempuan yang bertudung dan berhati bersih. Tak membenci dan tak mengata orang lain."

Perempuan Muslim 1: "Tak semua manusia sempurna."

Penulis: "Saya tak mintak kamu menjadi sempurna. Saya hanya mintak kamu berhijab dan menjaga lidah."

Perempuan Muslim 1: "TAK SEMUA MANUSIA SEMPURNA."

Penulis: "Ada ke manusia yang sempurna??"

Kita tak harus jadi manusia yang bodoh. Dalam senario di atas, ada satu jenis kebodohan yang ingin saya utarakan. Kebodohan yang saya maksudkan ialah apabila kita mengharamkan kebaikan ke atas diri kita atas kelemahan orang lain.

Kalau kita lihat perempuan Muslim 1 tadi, dia telah mengharamkan dua jenis kebaikan yang sangat-sangat dituntut agama ke atas dirinya iaitu menutup aurat dan menjaga lidah hanya kerana ada orang-orang bertudung yang lemah dan tidak dapat menjaga lidah mereka. Bila dicadangkan untuk bertudung, dibawanya isu orang-orang yang bertudung tetapi tak dijaga lidahnya. Bila diminta menjaga lidahnya, beralasankan "tak semua manusia sempurna" pula.

Setidak-tidaknya, di akhirat nanti, perempuan-perempuan yang bertudung tetapi tidak menjaga lidah hanya akan diazab akibat keceluparan lidah mereka. Tetapi, kita yang tak menutup aurat dan tak mahu pula menjaga lidah akan menerima dua jenis azab. Na'uzubillah. Azab Allah itu sangat pedih. Jangan main-main. "Dan cukuplah (neraka) Jahannam itu sebagai tempat penyeksaan." (an-Nisa': 55)

Ingat, lima kali dalam al-Quran Allah S.W.T. berfirman, "La taziru wazirun wizrata ukhra" yang bermaksud, "Tidaklah seorang penanggung dosa itu menanggung dosa orang lain." Kenapa harus kita jadi bodoh dengan mengharamkan kebaikan ke atas diri kita atas dosa orang lain? Kita yang rugi. Kita yang rugi di dunia, dan di akhirat.

Islam menuntut ummatnya supaya sentiasa berusaha ke arah kesempurnaan dan sentiasa bertaubat di atas segala kekurangan dan kelemahan. Dengan terus-terusan berusaha ke arah pola kesempurnaan, kita akan jauh daripada pola kemaksiatan. Dan dengan menjauhkan diri daripada pola kemaksiatan, datanglah melimpah ruah rahmat dari Tuhan. Dan dengan itu, hakikatlah satu kebahagiaan.

wAllahu 'alam

3 comments:

Afifah Azmi said...

Like3~

Anonymous said...

like .

Anonymous said...

mohon copy..tq..=)