Seorang sahabat baik bercerita kepada saya tentang Nga Kor Ming, pemimpin DAP Perak yang membaca ayat Quran dalam satu ceramah beliau baru-baru ini. Isu yang dibangkitkan oleh sahabat saya adalah berkenaan dengan pendapat Mufti Perak, Sahibus Samahah Datuk Harussani Zakaria yang kurang senang dengan penggunaan ayat Quran oleh Setiausaha DAP Perak tersebut.
Pengetahuan agama saya tidaklah sedalam dan seluas Tuan Mufti kita, tetapi tidaklah menghalang saya daripada berfikir dan berpendapat; selagi saya sandarkan buah fikiran itu pada ayat-ayat Allah dan sunnah ar-Rasul S.A.W..
Saya berpendapat bahawa strategi dan tindakan seorang pemimpin kafir (Kristian) berhujah dengan ayat Quran menceritakan dua fenomena. Pertama, ia mungkin satu strategi memikat pengundi Melayu Islam dalam kempen politik untuk pilihanraya kecil yang akan datang ini. Ini memberi alamat tentang sikap "awareness" terhadap kepercayaan dan agama pengundi majoriti. Penghormatan yang tidak seharusnya ditolak.
Kedua, kejadian ini boleh dilihat sebagai satu refleksi terhadap umat Islam seluruhnya. Melihat kembali ucapan pemimpin muda DAP tersebut, kita boleh "deduce" bahawa kepercayaan yang benar terhadap Tuhan adalah punca kepada keadilan dan kerahmatan sekalian alam. Orang bukan Islam yang pelat dalam bacaan al-Quran mampu mengeluarkan hakikat ini daripada sepotong kalam Tuhan Rabbil 'Alamin, mengapa tidak umat Melayu yang beragama Islam sejak saban keturunan.
Link video: ucapan Ngo Kar Ming
Tuan Mufti Perak risaukan kekeliruan apabila orang kafir berhujah dan menafsirkan ayat al-Quran. Saya memahami kerisauan beliau dan kita memang harus berhati-hati apabila mendengar hujah-hujah yang disangkut pautkan pada ayat-ayat Allah S.W.T., bukan oleh orang kafir sahaja, tetapi oleh orang-orang Islam. Telah terbukti oleh beberapa kes dalam dekad ini, orang-orang Islam yang berpendidikan, tetapi menafsirkan ayat-ayat mulia daripada al-Quran menurut kehendak nafsu dan pemikiran logik semata-mata. Pemimpin-pemimpin politik, Astora Jabat, Sisters in Islam, dan gerakan-gerakan Islam Liberal yang lain sudah cukup menjadi contoh kebejatan umat Islam dalam memahami sumber hukum mereka yang paling utama. Mungkin Tuan Mufti kita perlu memberikan lebih perhatian dan usaha dalam menyelesaikan masalah ini.
Harus berhati-hati, tapi janganlah keterlaluan sampai tercetus pemikiran negatif yang akhirnya akan menutup pintu-pintu dakwah Islam. Apabila ada kesilapan dalam penafsiran, daripada mana-mana pihak pun, Islam atau bukan, pemimpin atau rakyat jelata, tegurlah sewajarnya. Jelaskan yang kabur, leraikan yang terkeliru. Yang tersalah dan mengelirukan pula haruslah memohon maaf dan membetulkan kenyataan.
"Serulah (manusia) ke jalan Tuhan-Mu dengan hikmah dan peringatan yang baik, berdebatlah (reason) dengan mereka dengan cara yang lebih baik (better), sungguh Tuhan kamu itu lebih tahu tentang siapakah yang telah tersesat daripada jalan-Nya, dan Dia juga yang lebih tahu tentang siapa yang mendapat hidayah" (an-Nahl: 125)
wAllahu 'alam
1 comment:
HUjah yang bernas dan sangat baik. Tak faham mengapa UMNO dan sekutu seperti Pewaris menganggap ini sebagai penghinaan? Sedangkan ia tanda umat bukan Islam memetik ayat A-Quran demi keadilan sejagat
Post a Comment